top of page

KEADILAN Kuantan kupas Ucapan Dasar Presiden pada kongres bulan lalu

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
7 hours ago
1 min read
Fakhrul Anuar (tengah) mendengar kupasan wakil peringkat ranting membahas ucapan dasar
Fakhrul Anuar (tengah) mendengar kupasan wakil peringkat ranting membahas ucapan dasar

KEADILAN Cabang Kuantan telah mengadakan Program Kupasan dan Perbahasan Ucapan Dasar Presiden KEADILAN hari ini yang telah dibentang oleh Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Kongres Nasional KEADILAN 2026, bulan lalu.


Program yang berlangsung di Pusat Madani Parlimen Kuantan itu bertajuk "Memugar Reformasi, Membina MADANI" sebagai persiapan akar umbi bagi mendalami dan membahaskan teras perjuangan parti yang dibentangkan presiden.


Program tersebut dihadiri pimpinan utama Cabang Kuantan, Ketua-Ketua Ranting, AMK, Wanita dan anggota Jawatankuasa Cabang serta aktivis dari seluruh Parlimen Kuantan. Sesi kupasan berlangsung dengan penuh semangat dan kekeluargaan.

Salah seorang wakil membahas ucapan
Salah seorang wakil membahas ucapan

Ketua Cabang Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi dalam ucapannya berkata, ucapan dasar presiden menjadi nadi untuk terus memugar idealisme reformasi dalam konteks Kerajaan MADANI hari ini.


"Ucapan Dasar Presiden kali ini bukan sekadar retorik, tetapi peta jalan untuk memastikan agenda reformasi institusi, ekonomi rakyat dan keadilan sosial terus dilaksanakan. Tugas kita di peringkat Cabang dan Ranting adalah menterjemahkannya kepada kerja-kerja di lapangan," katanya.


Sesi perbahasan menyaksikan para perwakilan Ranting membangkitkan beberapa isu penting termasuk pemerkasaan ekonomi rakyat B40, isu kos sara hidup, peranan warga emas dan belia dalam arus MADANI, serta persediaan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.


Program turut menekankan komitmen KEADILAN Kuantan untuk terus menjadi jambatan antara suara rakyat akar umbi dengan Kerajaan MADANI.


Perbahasan ditutup dengan resolusi untuk menyokong penuh kepimpinan Presiden dan komitmen untuk memperkukuh KEADILAN Kuantan sebagai cabang yang bersatu padu dan berjiwa rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page