top of page

Tidak sokong Pas disamakan tidak sokong Islam, kesesatan pemikiran – Ust Fakhrulrazi

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
7 hours ago
2 min read

Anggapan seseorang yang tidak menyokong Pas bermakna tidak menyokong Islam merupakan satu kekeliruan pemikiran yang serius.


Mantan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar) berkata, Pas merupakan sebuah parti politik manakala Islam ialah agama dan hal itu tidak boleh disamakan.


"Saya berpandangan anggapan seseorang yang tidak menyokong Pas bermakna tidak menyokong Islam merupakan satu kekeliruan pemikiran yang serius.


"Pas ialah sebuah parti politik, manakala Islam ialah agama. Kedua-duanya berada pada kedudukan dan ruang yang berbeza. Oleh itu, menyamakan sokongan terhadap sebuah parti politik dengan sokongan terhadap Islam adalah sesuatu yang tidak wajar


"Pada pandangan saya, menyamakan taraf sebuah parti politik dengan agama Islam adalah satu bentuk kesesatan pemikiran yang nyata," katanya dalam satu kenyataan.


Katanya, seseorang Muslim mempunyai hak untuk memilih, menyokong atau tidak menyokong mana-mana parti politik berdasarkan pertimbangan serta pendirian masing-masing.


"Seseorang Muslim mempunyai hak untuk memilih, menyokong atau tidak menyokong mana-mana parti politik berdasarkan pertimbangan dan pendiriannya sendiri.


"Perbezaan pilihan politik tidak boleh dijadikan ukuran terhadap keimanan seseorang atau kecintaannya kepada Islam," katanya.


Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap penggunaan perbezaan politik untuk melabel seseorang sebagai tidak menyokong Islam, tidak Islamik atau sesat.


"Politik boleh berbeza, tetapi perbezaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempertikaikan keislaman seseorang," katanya.


Fakhrulrazi berkata Islam bukan milik eksklusif mana-mana parti politik dan tiada parti berhak menjadikan sokongan kepadanya sebagai ukuran tunggal kepada sokongan seseorang terhadap Islam.


"Kita perlu membezakan dengan jelas antara Islam sebagai agama dan parti politik sebagai wadah perjuangan politik.


"Perbezaan dalam politik hendaklah dibahaskan dengan hujah, fakta dan adab, bukannya dengan mengheret soal keimanan sebagai senjata politik," katanya.


Beliau menegaskan bahawa tidak menyokong Pas tidak bermakna seseorang itu tidak menyokong Islam.


"Dan pada pandangan saya, apabila parti politik disamakan tarafnya dengan agama Islam, di situlah berlaku kerosakan pemikiran yang perlu ditegur dan diperbetulkan," katanya.


Kelmarin, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah ketika berceramah berkata, orang yang tidak memahami Islam dan tidak mencintai Islam tidak akan menyokong Pas.


Beliau juga berkata seorang Muslim yang pergi ke Mekah banyak kali tetapi tidak mengundi Pas tetap berada dalam keadaan tidak memahami dan tidak mencintai Islam.


"Kalau orang tidak faham Islam, dia tidak cinta kepada Islam, dia tidak akan sokong Pas. Itu asas paling mudah.


"Walaupun dia (seseorang Muslim) boleh jadi orang Islam, dia pergi Mekah banyak kali, tapi kerana dia tidak faham dan dia tidak cinta kepada Islam, maka dia tak undi Pas," katanya dipetik.


Kenyataan berkenaan kemudiannya mengundang kritikan banyak pihak kerana pilihan politik tidak ada kena mengena dengan kefahaman atau kecintaan terhadap Islam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page