top of page

Dr Samsuri berpotensi terperangkap percaturan kuasa dalaman PN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Pelantikan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang baharu berpotensi meletakkan beliau sekadar ‘alat politik’ dalam percaturan kuasa dalaman Perikatan Nasional (PN).


Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, pelantikan Menteri Besar Terengganu itu yang cuba digambarkan sebagai usaha memperkukuh PN, hanya membuktikan wujud persaingan kuasa yang semakin ketara antara pimpinan tertinggi Pas dan Bersatu menjelang pilihanraya akan datang.


"Semua orang tahu jawatan Ketua Pembangkang ini bukan semata-mata soal menyusun strategi semak dan imbang di Parlimen. Ia juga berkait rapat dengan percaturan siapa bakal diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya PN mahu menarik sokongan rakyat


"Dalam konteks ini, saya melihat Ahmad Samsuri sebenarnya sedang diletakkan di tengah gelanggang politik yang sangat berbahaya dan beliau boleh menjadi mangsa kepada permainan kuasa dalaman PN sendiri. Apatah lagi beliau bukan nama besar berbanding pimpinan PN yang lebih lama," katanya dipetik.


Mengulas lanjut Saifuddin turut melihat kemunculan Samsuri ketika ini tidak disenangi beberapa kelompok tertentu dalam gabungan berkenaan, khususnya mereka yang mempunyai cita-cita lebih besar dalam politik nasional.


Pas jelasnya mungkin melihat Samsuri sebagai aset untuk memperluaskan pengaruh parti ke luar kelompok tradisional, namun Bersatu pula mempunyai agenda tersendiri untuk memastikan kuasa politik pembangkang utama kekal berada dalam tangan mereka.


"Jadi apabila Samsuri mula diberikan ruang lebih besar dan cuba dipromosikan sebagai wajah lebih sederhana serta boleh diterima pelbagai pihak, sudah tentu akan wujud pertembungan kepentingan dalaman.


"Ini berpotensi menyebabkan Samsuri akhirnya menjadi korban kepada perebutan pengaruh antara Pas dan Bersatu yang masing-masing mahu menentukan hala tuju serta dominasi dalam PN," tambahnya.


Sementara itu Saifuddin turut mendakwa pelantikan Samsuri juga boleh dilihat sebagai usaha PN untuk mengubah persepsi rakyat terhadap gabungan itu selepas beberapa pemimpin utama mereka semakin terpalit dengan polemik dan penolakan awam.


"Namun dalam politik, apabila seseorang mula terlalu popular dan dilihat berpotensi, di situlah juga bermulanya permainan untuk menjatuhkan atau mengawalnya.


"Saya percaya Ahmad Samsuri akan berdepan tekanan politik lebih besar selepas ini, bukan sahaja daripada lawan politik tetapi juga daripada sekutu sendiri," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page