Dr Ruban mohon maaf, batalkan kempen atas nasihat doktor
- Azuan Ab Rahman

- 2 hours ago
- 1 min read

Dr Ruban Arumugam (gambar), Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N.30 Paloh menzahirkan permohonan maaf kepada seluruh pasukan jentera dan orang ramai yang ingin meluangkan masa bertemunya semalam.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya beliau memaklumkan terpaksa membatalkan keseluruhan jadual kempennya pada Selasa selepas mengalami sakit tulang belakang yang dipercayai berpunca daripada masalah 'slip disc' berulang dan diminta doktor untuk berehat seketika agar keadaan tidak menjadi lebih serius.
"Saya risau nanti orang tanya, 'Mana calon kita?' bila mereka tidak nampak saya mengedar 'flyer' (risalah) atau di kopitiam untuk berkempen.
"Dengan hati yang berat, saya terpaksa membatalkan semua program saya selepas mengalami kesakitan sebaik sahaja bangun tidur pagi tadi (Selasa)" katanya.
Berdasarkan jadual, beliau sepatutnya mengadakan lawatan ke pusat pengundian awal dan bertemu orang ramai dj Kampung Gajah dan Kampung Sri Tambak.
Dr Ruban sementara itu merakamkan penghargaan kepada penyokong yang terus memberi kekuatan sepanjang kempen berlangsung.
Berharap agar segera kembali pulih, beliau tekad untuk menemui dan menyantuni lebih ramai pengundi sebelum tiba hari pengundian.
"Saya harap dapat kembali pulih secepat mungkin. Walaupun dah selesaikan walkabout di banyak taman dan lokasi, saya masih nak pusing-pusing untuk kali kedua dan ketiga," katanya.




Comments