Dr Maszlee kecewa parit di Kg Isnin Maarof tidak diselenggara, berisiko banjir
- Redzuan Shamsudin

- 1 day ago
- 1 min read

Penduduk Kampung Isnin Maarof di Simpang Renggam, Johor meluahkan kebimbangan terhadap keadaan sistem perparitan yang didakwa tidak diselenggara dan dipenuhi semak samun sehingga menjejaskan aliran air di kawasan berkenaan.
Ketua Cabang KEADILAN Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata beliau menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai masalah tersebut yang dikhuatiri boleh menyebabkan banjir sekiranya hujan lebat berlaku.
"Keadaan sedemikian akan menyebabkan banjir kerana air tidak mengalir akibat parit-parit yang tersumbat," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut beliau, penduduk mendakwa kawasan pertanian mereka juga sering dinaiki air apabila tiba musim hujan.
"Bila tiba musim hujan, kawasan pertanian sekitar akan dinaiki air dan berlaku banjir dalam tempoh yang lama sehingga menyebabkan kerugian kepada petani," katanya memetik aduan penduduk yang dikongsikan beliau.

Penduduk juga mendakwa kali terakhir kerja penyelenggaraan dilakukan adalah ketika Dr Maszlee masih menjadi Ahli Parlimen Simpang Renggam.
"Kawasan ini berada dalam DUN Machap. Simpang Renggam diwar-warkan sebagai bandar paling sejahtera dan bahagia, namun keadaan perparitan yang tidak diurus dengan baik menimbulkan kesusahan kepada penduduk terutama di kawasan rendah," kata Dr Maszlee.
Sehubungan itu, beliau merayu kepada pihak berwajib termasuk ADUN Machap dan Ahli Parlimen Simpang Renggam supaya segera membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
"Ini bukan isu politik, ia adalah isu kesejahteraan penduduk dan rakyat setempat," tegasnya.




Comments