Dompet Rakyat, Harapan Negara: Hari Kebangsaan dan Masa Depan Ekonomi Rakyat
- Suara Keadilan

- Sep 11
- 4 min read
Updated: Sep 13

Oleh : Amir Hussien
ULASAN: Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 pada tahun 2025, Malaysia sekali lagi berdiri di persimpangan jalan penting. Ia adalah cermin realiti kehidupan 33 juta rakyat Malaysia yang setiap hari bergelut dengan kos sara hidup, gaji yang perlahan naik, dan impian masa depan yang terasa semakin jauh.
Persoalannya: mampukah kita melangkah ke hadapan dengan dompet rakyat yang masih “berat sebelah”?
Suara dompet rakyat
Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih tampuk kepimpinan pada penghujung 2022, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menstabilkan ekonomi dan memberi sedikit ruang bernafas kepada rakyat. Antara yang paling dekat di hati ialah Program Rahmah — daripada Jualan Rahmah di pasar raya, Menu Rahmah di kedai makan, hinggalah bantuan tunai Rahmah.
Langkah-langkah ini telah membawa kesan positif. Kadar inflasi tahunan menurun kepada 2.8% pada 2024, berbanding 4.7% pada kemuncaknya pada 2022.
Harga barang memang terasa lebih terkawal, walaupun realitinya dompet rakyat masih “sakit”. Program tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan jumlah keseluruhan RM8.9 bilion untuk 8.9 juta penerima memang meringankan beban, tetapi persoalan utama tetap sama: adakah ia penyelesaian jangka panjang, atau sekadar “ubat penahan sakit”?
Jurang realiti: Antara angka dan kehidupan
Laporan Kos Sara Hidup Malaysia 2024 oleh Pusat Penyelidikan Universiti Malaya (UMCRES) mendedahkan satu hakikat pedih: sebuah keluarga di Lembah Klang perlukan sekurang-kurangnya RM6,500 sebulan untuk hidup dengan selesa. Namun, gaji median rakyat Malaysia hanya RM2,600.

Jurang yang terlalu jauh ini membuatkan hampir 68% isi rumah B40 masih bergantung pada bantuan kerajaan.
Lebih menyakitkan hati, harga rumah terus melambung. Indeks Harga Rumah Malaysia (MHPI) meningkat 147% antara 2010–2024, tetapi gaji median hanya naik 78% dalam tempoh sama. Bagi anak muda, memiliki rumah ibarat mimpi yang semakin kabur. Ramai terpaksa “menyewa seumur hidup” atau tinggal jauh dari pusat bandar, yang akhirnya meningkatkan lagi kos pengangkutan dan tekanan hidup.
Bantuan tunai: Ubat atau ketagihan?
Ramai menyambut baik bantuan kerajaan, tetapi kita perlu berani bertanya: adakah pendekatan ini hanya merawat simptom, bukan punca?
Bantuan tunai boleh menimbulkan mentaliti subsidi, di mana rakyat terbiasa menunggu bantuan berbanding membina daya tahan ekonomi sendiri. Penyelesaiannya bukan sekadar beri lebih banyak bantuan, tetapi pelaburan dalam modal insan.
Program TVET, reskilling, dan upskilling perlu menjadi keutamaan. Bila rakyat ada skil berkemahiran tinggi, peluang pekerjaan lebih baik dan bergaji lumayan pun terbuka. Inilah cara untuk memperkuat dompet rakyat dari dalam, bukan sekadar “isi sementara”.
Ekonomi bernilai tinggi: Dari perkhidmatan ke digital
Sejak sedekad lalu, ekonomi Malaysia masih terlalu bergantung pada sektor perkhidmatan. Sumbangan sektor pembuatan kepada KDNK merosot daripada 23.4% pada 2010 kepada 20.1% pada 2023. Ini petanda kurang baik, kerana sektor perkhidmatan semata-mata tidak mampu memberi gaji yang cepat meningkat.
Kita perlukan anjakan besar ke arah ekonomi digital, automasi, dan industri 4.0. Bayangkan jika lebih ramai anak muda kita bekerja dalam bidang data, kecerdasan buatan, tenaga hijau, atau bioteknologi — gaji bukan sahaja lebih tinggi, malah peluang antarabangsa juga terbuka luas.
Untuk itu, kerajaan mesti berganding bahu dengan industri swasta memastikan latihan kemahiran benar-benar relevan dengan pasaran kerja.
Gaji minimum progresif
Gaji minimum RM1,700 hari ini jelas tidak mencukupi, terutama bagi mereka di bandar besar. Konsep gaji minimum progresif perlu segera dilaksanakan, yang mana kadar minimum diselaraskan dengan kos sara hidup sebenar di negeri atau kawasan tertentu.
Contohnya, gaji minimum di Kuala Lumpur mestilah lebih tinggi daripada di kawasan luar bandar. Tanpa langkah ini, jurang pendapatan akan terus melebar.
Literasi kewangan: Mengisi dompet, mengurus dompet
Isu lain yang sering terlepas pandang ialah literasi kewangan. Statistik menunjukkan hanya 36% rakyat Malaysia benar-benar faham cara urus kewangan dengan baik. Ramai anak muda terperangkap dengan hutang kad kredit, pinjaman peribadi, malah skim cepat kaya.
Untuk memperkukuh dompet rakyat, ilmu kewangan mesti diajar sejak sekolah menengah lagi. Anak muda perlu tahu beza antara “kehendak” dan “keperluan”, cara menyimpan dengan konsisten, serta asas pelaburan supaya tidak ketinggalan.
Program seperti MySkills dan pembelajaran sepanjang hayat harus diperkasa dengan pendekatan mesra belia, termasuk melalui aplikasi digital dan media sosial.
Merdeka 2025: Bebas dari belenggu ekonomi
Hakikatnya, kemerdekaan sebenar bukan sahaja bebas daripada penjajah, tetapi juga bebas daripada belenggu kemiskinan, ketidakupayaan ekonomi, dan ketidakadilan sosial. Untuk itu, beberapa perkara mesti menjadi agenda nasional:
Cukai progresif yang lebih adil supaya jurang kaya-miskin dapat dirapatkan.
Penjagaan kesihatan sejagat agar rakyat tidak terbeban dengan kos rawatan. Perumahan mampu milik yang realistik, bukan sekadar angka di atas kertas. Pendidikan dan latihan berkualiti, supaya modal insan kita setanding dengan negara maju.
Konsep “Shared Prosperity” mesti diterjemahkan daripada slogan kepada tindakan nyata. Hanya dengan itu kita mampu membina masyarakat yang inklusif, berdaya tahan, dan seimbang.
Harapan negara di tangan rakyat
Tema “Dompet Rakyat, Harapan Negara” bukan sahaja cabaran kepada kerajaan, tetapi juga tanggungjawab setiap rakyat Malaysia. Kerajaan mesti menyediakan dasar dan peluang, tetapi rakyat sendiri mesti berubah — daripada mentaliti bergantung semata-mata, kepada semangat memperbaiki diri, belajar kemahiran baru, dan mengurus kewangan dengan bijak.
Apabila dompet rakyat sihat, negara juga lebih kuat. Merdeka 2025 hanya akan bermakna jika setiap keluarga dapat hidup dengan maruah, tanpa rasa tertekan setiap kali berbelanja. Itulah erti kemerdekaan sebenar — bebas bukan hanya di atas kertas sejarah, tetapi juga bebas membina masa depan ekonomi yang stabil dan berkelanjutan.
Dompet rakyat bukan sekadar milik individu, ia adalah cerminan masa depan negara. Jika kita bersamasama menjaganya, Malaysia akan melangkah ke hadapan sebagai negara merdeka yang benar-benar sejahtera, inklusif, dan berdaya tahan untuk generasi seterusnya.
Amir Hussien ialah penuntut tahun akhir PhD Pengajian Perniagaan dengan penyelidikan mengenai Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia di Universiti Utara Malaysia dan Mantan Pengerusi Perbadanan Labuan.









Comments