Parti Bersama: Satu Isyarat Awal Buat KEADILAN, PH?
- Suara Keadilan
- 50 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: Kemasukan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam penubuhan Parti Bersama Malaysia (Bersama) bukan sekadar episod biasa perpecahan politik, sebaliknya hal itu harus dilihat sebagai satu sistem amaran awal yang jelas kepada KEADILAN serta keseluruhan landskap Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh blok Pakatan Harapan (PH)-BN.
Langkah ini membawa mesej yang lebih besar daripada sekadar penubuhan parti baharu. Ianya mencerminkan wujudnya keresahan dalaman, jurang persepsi, dan kemungkinan hakisan keyakinan dalam kalangan penyokong tradisi reformasi.
Hakisan sokongan secara senyap?
Secara realistik, parti Bersama tidak akan menggantikan KEADILAN dalam masa terdekat. Namun, ancaman sebenar bukanlah kejatuhan mendadak tetapi hakisan perlahan terhadap kekuatan dalaman.
Rafizi mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan pengundi muda bandar, golongan profesional, aktivis reformasi, dan kelas pertengahan Melayu progresif.
Jika beliau berjaya membina naratif bahawa KEADILAN telah menyimpang daripada perjuangan asal reformasi, maka parti Bersama berpotensi menjadi platform protes yang signifikan, walaupun tanpa kemenangan besar dalam pilihanraya.
Sekali lagi formula baharu?
Gabungan Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad bukanlah satu kebetulan, tetapi satu formula strategik yang mana Rafizi dikenali sebagai watak agresif, strategik, dan populis reformasi.
Manakala Nik Nazmi pula digambarkan sebagai progresif, sederhana, dan intelektual.

Kombinasi ini berpotensi menarik
sokongan pengundi bandar di Selangor dan Kuala Lumpur, pengundi atas pagar PH, juga generasi muda yang semakin kritikal terhadap politik arus perdana.
Meskipun KEADILAN hari ini masih kukuh di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kelebihan menguasai jentera nasional, akses kepada kuasa kerajaan, kerjasama strategik PH-BN, dan pengaruh institusi namun parti Bersama memberi isyarat bahawa KEADILAN sedang berdepan risiko merosotnya “aura reformasi” yang menjadi teras kekuatannya sejak penubuhan.
Jika persepsi rakyat berubah bahawa KEADILAN terlalu berkompromi, reformasi bergerak perlahan, atau kepimpinan terlalu berpusat, maka parti Bersama akan menjadi alternatif kepada kelompok yang kecewa ini, khususnya di kawasan bandar strategik.
Risiko kepada Kerajaan PH-BN
Kesan parti Bersama bukan hanya kepada KEADILAN tetapi juga keseluruhan kestabilan Kerajaan Perpaduan. Terdapat risiko walau agak kecil ke arah pecahnya undi blok reformasi.
Undi yang sebelum ini padu kepada PH boleh berpecah dan berlaku penurunan moral jentera akar umbi.
Ahli yang kecewa mungkin kekal tetapi tidak lagi bekerja sepenuh hati. Parti Bersama juga boleh mendakwa merekalah “pewaris sebenar” perjuangan reformasi.
KEADILAN perlu bertindak
Sebagai sistem amaran awal, situasi ini menuntut tindakan segera dan strategik yang mana KEADILAN perlu mengurangkan konflik terbuka menuju Pilihan Raya Umum ke 16.
KEADILAN tidak boleh menyerang Rafizi secara agresif kerana ia hanya akan meningkatkan simpati terhadap beliau.
Agenda reformasi pula perlu dipercepatkan. Kerajaan mesti menunjukkan hasil nyata seperti menurunkan kos sara hidup, anti-rasuah, reformasi institusi, dan peluang ekonomi rakyat.
Selain itu, KEADILAN juga perlu melahirkan generasi pemimpin baharu yang diyakini rakyat, bukan bergantung kepada figura lama semata-mata.
Perbezaan dalaman juga harus diurus secara matang. Perpecahan dalaman adalah musuh paling besar dalam politik, lebih bahaya daripada serangan pembangkang.
Kukuhkan kedudukan pasca krisis
Krisis dalaman sekiranya diurus dengan baik maka KEADILAN boleh kembali memperkukuh kedudukan, dan kerajaan PH-BN boleh terus stabil.
Bagaimanapun, persoalan paling penting ialah adakah rakyat masih melihat KEADILAN sebagai simbol reformasi atau sudah muncul alternatif baharu yang lebih diyakini?
Jawapan kepada persoalan ini akan menentukan masa depan bukan sahaja KEADILAN, tetapi juga hala tuju politik negara.
Penulis merupakan penganalisis politik merangkap Pengerusi Biro Politik SekPur
