Dr Zulkifli hadiri majlis eksklusif di Istana Mina bersama Putera Mahkota Arab Saudi
- Redzuan Shamsudin

- 1 day ago
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menerima penghormatan menghadiri majlis eksklusif di Istana Mina, Arab Saudi atas jemputan Putera Mahkita Mohammed bin Salman.
Menurut beliau, majlis tersebut dihadiri secara terhad melibatkan para menteri serta ketua-ketua delegasi haji dari seluruh dunia.
"Alhamdulillah, saya mendapat penghormatan menerima jemputan ke Istana Mina oleh Duli Yang Teramat Mulia Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kehadiran ke majlis berkenaan mencerminkan hubungan baik serta pengiktirafan terhadap peranan Malaysia dalam pengurusan ibadah haji di peringkat antarabangsa.

"Majlis ini eksklusif dan terhad kepada menteri serta ketua delegasi haji dari seluruh dunia," ujarnya.
Tambah beliau, ketika menunggu bersama jemputan lain sebelum dibawa ke Istana Mina, suasana pertemuan tersebut turut menjadi ruang interaksi antara delegasi pelbagai negara.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli memaklumkan beliau memilih untuk mengenakan pakaian tradisional kebangsaan, baju Melayu, sebagai simbol identiti Malaysia di pentas antarabangsa.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas peluang menghadiri majlis berprestij itu yang menghimpunkan wakil negara Islam dari seluruh dunia bersama Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman.




Comments