top of page

Dominasi satu parti di DUN Sarawak jejas semak, imbang – Roland Engan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
17 hours ago
2 min read
Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan
Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan

Penguasaan 100 peratus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak oleh satu parti politik tidak akan menjamin sistem semak dan imbang berfungsi dengan berkesan, sebaliknya berisiko mewujudkan pemusatan kuasa tanpa cabaran serius.


Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan berkata, demokrasi yang sihat memerlukan suara pembangkang dan pandangan alternatif dalam dewan perundangan bagi memastikan setiap dasar kerajaan diteliti secara telus.


Menurutnya, amalan semak dan imbang merupakan elemen asas pentadbiran yang perlu diperkukuh seiring pelaksanaan agenda pembangunan ekonomi dan sosial negeri.


"Dalam konteks sistem demokrasi yang sihat, adalah tidak berasas dan satu bentuk retorik politik jika ada pihak yang mendakwa bahawa sistem semak dan imbang masih boleh berfungsi dengan berkesan biarpun 100 peratus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dikuasai sepenuhnya oleh satu parti politik sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.


Roland berkata, ketiadaan pembangkang yang kuat di DUN Sarawak boleh meningkatkan risiko monopoli kuasa, sekali gus melemahkan pemantauan terhadap pengurusan kewangan dan penggunaan dana awam.


Katanya, mekanisme semak dan imbang yang berkesan penting bagi mengawal ketirisan, memelihara integriti kewangan serta mengelakkan pembaziran wang rakyat.


Beliau turut menegaskan bahawa suara masyarakat akar umbi, khususnya penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar juga perlu diberikan ruang sewajarnya dalam proses membuat keputusan.


"Melalui mekanisme semak dan imbang yang sebenar, suara rakyat di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar dapat disuarakan dengan lebih berkesan tanpa rasa takut atau diabaikan, memastikan projek pembangunan dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat Sarawak," ujarnya.


Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Sarawak itu, perbezaan pandangan dalam sistem demokrasi tidak seharusnya dianggap sebagai penghalang kepada pembangunan, sebaliknya merupakan mekanisme penting untuk melindungi hak rakyat.


"Perbezaan pandangan bukanlah halangan kepada kemajuan, sebaliknya ia adalah benteng pertahanan terakhir hak rakyat," katanya.


Sehubungan itu, Roland menggesa semua pihak, termasuk pemimpin Kerajaan Negeri, wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat, menolak tanggapan bahawa dominasi mutlak sesebuah parti mampu menjamin akauntabiliti.


Beliau berkata, Sarawak memerlukan sistem pentadbiran yang terbuka kepada kritikan dan pandangan berbeza bagi memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara telus, berkesan dan menyeluruh.


"Kawal kebocoran, regakkan integriti, perkasakan demokrasi Sarawak," kata Roland lagi.


Kelmarin, seorang ADUN, Abdul Karim Rahman Hamzah dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata bahawa penyokong kerajaan atau backbencher GPS akan memastikan kerajaan Sarawak terus dipantau sekiranya GPS berjaya menyapu bersih semua kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.


Beliau berkata ‘backbencher’ akan bertindak sebagai kumpulan pendesak seperti pembangkang.


"Kita mempunyai mekanisme semak dan imbang sendiri, termasuk unit ombudsman dan mekanisme lain untuk memastikan akauntabiliti," katanya dipetik Dayak Daily.


GPS kini menguasai 80 daripada 82 kerusi dalam DUN Sarawak, manakala baki dua kerusi, Padungan dan Pending diwakili DAP.


Sarawak dijangka mengadakan pilihan raya negeri pada awal tahun hadapan, genap lima tahun penggal pemerintahan.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page