Dominasi media sosial cabaran baharu kesihatan mental - Dr Wan Azizah


Perubahan gaya hidup yang pantas serta dominasi media sosial kini mengubah landskap kehidupan seharian golongan muda.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pendedahan meluas terhadap media sosial menjadi cabaran baharu kepada kesihatan mental belia.
Menurut beliau, pendedahan kepada risiko buli siber, ejekan fizikal, dan perbandingan sosial meletakkan golongan ini dalam tekanan berterusan, mahupun ketika berada di rumah.
"Buli siber boleh berlaku secara berterusan di media sosial dan telefon bimbit. Justeru, kekuatan serta kesihatan mental amat penting untuk menghadapinya.
"Golongan muda yang berdepan tekanan dianjurkan supaya segera mencari bantuan dan tidak memendam perasaan seorang diri," katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata begitu pada Majlis Pelancaran Inisiatif Hab Rakan Sokongan SEHAT dan Talian Belia SEHAT bersempena Kempen Sifar Buli Negeri Selangor 2026, di Petaling Jaya pada Jumaat.
Sementara itu Dr Wan Azizah dalam ucapannya turut mengingatkan golongan muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan gambaran kehidupan yang dipaparkan di media sosial, khususnya kecenderungan membandingkan kehidupan atau pencapaian diri dengan orang lain.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia) itu juga mengingatkan agar golongan muda turut menyemak dan memastikan terlebih dahulu kesahihan setiap maklumat diterima di media sosial.
"Jangan tertipu. Dalam Islam, kita ada hadis sahih, hadis yang kuat, ada hadis yang tidak betul, palsu. Yang sama juga dengan media sosial. Semak fakta dan semak sama ada ia sahih atau tidak. Jangan percaya terus-terus," tambahnya.




Comments