top of page

DKMN 2030: Perlu keberanian politik, makanan kedaulatan negara – Mahfuz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 2 min read


Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyambut baik peluncuran Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) yang dirangka Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), namun menegaskan kejayaan dasar itu bergantung kepada keberanian melaksanakan reformasi struktur secara menyeluruh.


Menurut beliau, peluncuran dasar tersebut menunjukkan kesedaran bahawa isu makanan bukan lagi isu pinggiran, sebaliknya melibatkan soal keselamatan, keadilan sosial dan kedaulatan negara.


"Saya menyambut baik Peluncuran Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) yang diusahakan dan dirangkakan oleh KPKM, yang merupakan langkah penting serta menandakan kesedaran negara bahawa isu makanan bukan lagi isu pinggiran, tetapi soal keselamatan, keadilan sosial dan kedaulatan negara," katanya dalam satu kenyataan.


Namun, menurut Mahfuz, kejayaan dasar itu tidak ditentukan oleh keindahan dokumen atau jumlah inisiatif yang diumumkan, sebaliknya oleh keberanian politik untuk membetulkan struktur sistem makanan negara.


"Realitinya, kenaikan harga makanan hari ini bukan semata-mata berpunca daripada peladang atau kekurangan bekalan, tetapi daripada struktur pasaran yang membenarkan manipulasi, monopoli dan ketidakseimbangan kuasa dalam rantaian bekalan.


"Jika isu orang tengah dan kartel tidak ditangani secara serius, maka keterjaminan makanan akan kekal sebagai slogan, bukan realiti," tegasnya.


Beliau turut menekankan bahawa peladang masih menjadi kumpulan paling berisiko dalam rantaian bekalan dengan menanggung kos, ketidaktentuan cuaca dan ketidaktentuan harga, sementara nilai keuntungan tertumpu di hujung rantaian.


Ujarnya, selagi peladang hidup atas ihsan subsidi, selagi itulah sistem makanan negara rapuh.


Dalam masa sama, beliau menyifatkan DKMN 2030 juga merupakan isu akhlak dan keadilan sosial, bukan sekadar ekonomi.


"Dalam mana-mana masyarakat beradab, makanan tidak boleh dijadikan alat eksploitasi. Pembaziran, sorok bekalan dan manipulasi harga adalah kegagalan moral yang mesti ditangani dengan tegas."


Selain itu, Mahfuz mengingatkan bahawa sektor pertanian perlu direformasikan agar mampu menarik minat golongan muda.


Mahfuz menegaskan bahawa keterjaminan makanan sebenar hanya akan dapat diukur apabila rakyat tidak lagi cemas membeli makanan, peladang hidup bermaruah dan negara tidak panik ketika berdepan krisis global.


"Keterjaminan makanan bukan soal pasaran semata-mata, ia soal melindungi manusia," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page