top of page

Pemimpin komuniti: Pemilihan hak mutlak masyarakat, hindari campur tangan politik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Pemilihan pemimpin komuniti dan tuai rumah di Sarawak wajar dikembalikan kepada hak mutlak masyarakat tanpa campur tangan politik.


Senator Dewan Negara, Abun Sui Anyit (gambar) berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Menteri, Datuk Seri Tiong King Sing berhubung isu pelantikan pemimpin komuniti.


Menurut beliau, prinsip tersebut jelas dan konsisten sejak dahulu.


"Prinsip saya jelas dan konsisten, pemimpin komuniti mesti dipilih oleh komuniti itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan.


Abun Sui menegaskan bahawa masyarakat Sarawak telah lama mengamalkan adat dan kebiasaan tersendiri dalam menentukan kepimpinan komuniti, jauh sebelum wujudnya sistem politik moden.


"Sejak turun-temurun, masyarakat di Sarawak telah mengamalkan adat dan kebiasaan mereka sendiri dalam menentukan siapa yang layak memimpin komuniti.


"Amalan ini telah wujud jauh lebih awal daripada sistem politik moden dan wajar dihormati tanpa kompromi," ujarnya.


Ketua Cabang Hulu Rajang itu berpandangan peranan kerajaan seharusnya terhad kepada mengiktiraf dan memperakukan pilihan masyarakat, bukannya mencampuri atau memanipulasi keputusan komuniti.


"Apabila kehendak masyarakat diketepikan, konflik dan ketegangan politik tidak dapat dielakkan," ujarnya.


Menurut Abun Sui lagi, sekiranya semua pihak menghormati adat dan amalan sedia ada tanpa mengira parti politik, isu pelantikan pemimpin komuniti tidak akan menjadi polemik.


"Ahli politik dan wakil rakyat yang dipilih tidak seharusnya terlibat dalam menentukan atau mempengaruhi pemilihan pemimpin komuniti. Tanggungjawab wakil rakyat adalah memperjuangkan kepentingan rakyat — bukan memilih siapa yang harus memimpin rakyat di peringkat akar umbi."


Pengerusi Biro Hak Adat Bumiputra (NCR) Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak itu turut menyatakan bahawa prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan pihak berkuasa ketika ini didakwa bercanggah dengan adat masyarakat dan menjadi punca pertikaian berterusan.


"Hormatilah pilihan masyarakat. Sekiranya prinsip ini dijunjung dan dilaksanakan dengan jujur serta konsisten, isu ini tidak akan timbul sama sekali," katanya lagi.


Abun Sui menegaskan amat penting untuk mempertahankan keharmonian masyarakat, menghormati adat tempatan serta memastikan politik tidak merosakkan struktur kepimpinan komuniti yang telah lama berfungsi dengan baik.


Untuk rekod, kelmarin, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Tiong King Sing, melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, yang didakwa mencampuri urusan pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong dan Bawang Assan.


Menurutnya, pelantikan tersebut sepatutnya dibuat berdasarkan keputusan Jawatankuasa Pemilihan yang telah bermesyuarat secara telus dan mencapai kata sepakat.


"Namun, beberapa nama calon didakwa telah ditambah, digugurkan dan digantikan tanpa kebenaran, sekali gus mencabuli prinsip pembuatan keputusan secara konsensus.


"Jika keputusan Jawatankuasa Pemilihan boleh diubah sesuka hati, maka lebih baik jawatankuasa itu dibubarkan dan semua keputusan dibuat oleh seorang individu sahaja," katanya sebagaimana dipetik Utusan Borneo.


Tiong menegaskan bahawa sebarang pelantikan KMKK mestilah mendapat persetujuan wakil rakyat tempatan yang dipilih oleh rakyat.


Namun, beliau mendakwa wakil rakyat PDP telah diketepikan dalam proses berkenaan, yang disifatkannya sebagai satu bentuk ketidak­hormatan politik terhadap kerjasama dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page