Penduduk Wangsa Maju raikan Hari Wilayah, Tahun Baharu Cina
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh: Lai Chen Heng
ULASAN: Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Cina Mun Yee menjadi saksi kepada satu pertemuan penuh emosi semalam apabila lebih 400 penduduk Wangsa Maju berhimpun bagi meraikan sambutan dwi-perayaan Hari Wilayah Persekutuan dan Tahun Baru Cina.
Bertemakan "Gagahnya Perjuangan, Sentiasa Bersamamu", majlis ini mempamerkan manifestasi perpaduan kaum yang utuh melalui kehadiran luar biasa melebihi 40 meja.
Majlis ini telah diserikan oleh tetamu kehormat, Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri yang hadir mewakili Pejabat Perdana Menteri.
Penghormatan komuniti Wangsa Maju, Kg Lee Kong Chian
Nadi utama majlis adalah pelancaran lagu Tahun Baru Cina asli berjudul “与你同在” (Sentiasa Bersamamu). Lagu ini digubah khas sebagai penghormatan terakhir buat Kampung Lee Kong Chian, sebuah perkampungan bersejarah yang bakal dirobohkan tidak lama lagi.

Keistimewaan karya ini terletak pada produksinya yang dilakukan sepenuhnya secara profesional oleh komuniti Setapak—merangkumi pemilihan lokasi, gubahan muzik, koreografi, hingga ke suntingan video.
Tajuk lagu tersebut diinspirasikan daripada motto perkhidmatan Sudara Lai Chen Heng atau lebih dikenali sebagai LAI (LAI: Sentiasa Bersamamu). Persembahan syahdu oleh 'influencer' On Sir (Andrew Cheah) bersama vokalis tempatan Aaron Tan dan Sook Yen berjaya menyentuh hati para hadirin, membangkitkan nostalgia terhadap sejarah setempat yang kaya.
Sinergi kepimpinan dan akar umbi
Majlis ini merupakan hasil kerjasama erat komuniti setempat bersama LAI, pemimpin masyarakat yang juga mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur. Selaku penaung kepada Jojo Sisters Linedance dan Happy Tempo, kehadiran beliau menjadi simbol jambatan antara tradisi dan aspirasi masa depan.
Dalam ucapan beliau, LAI menegaskan bahawa kekuatan Wangsa Maju adalah keupayaan penduduknya mengekalkan jati diri budaya unik dalam acuan Malaysia. Beliau turut mengimbau kenangan menganjurkan jamuan Tahun Baharu Cina (CNY) pertamanya di dewan yang sama pada 2019 untuk Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, membuktikan komitmen khidmat bakti yang berterusan.
Kebersamaan tokoh dan komuniti
Suasana malam tersebut dimeriahkan lagi dengan persembahan bertenaga daripada Kelly’s Dance Troupe, Yvonne & Group, Titiwangsa Linedance, dan Persatuan Hokkien Setapak, serta penampilan khas artis Christina Tan dan artist rakaman Johnny Ho.
Pengerusi penganjur, Yap Peling bersama ahli jawatankuasa Jane Ngiow dan Ivy Teoh, merakamkan penghargaan kepada tokoh korporat dan pemimpin setempat yang hadir memberi sokongan; Tan Sri Gan Yu Chai – Pengerusi SJKC Mun Yee, Tan Sri Lim Keng Cheng – Pengerusi SMK (P) Chong Hwa, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew – Mantan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ong Thiam Lai – Pengerusi Village Grocer, Datuk Seri Tong Seech Wi, Datuk Chan Kwok Chin – Fung Wong Bakery serta Datuk Mak Foo Wei – Bendahari Agung MCPF
Misi kelestarian warisan berterusan
Semangat “Sentiasa Bersamamu” ini akan diteruskan melalui siri jelajah akan datang. Sebuah Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina dijadualkan berlangsung di Pasar Teratai Mewah pada 22 Februari 2026, manakala kemuncaknya adalah sambutan Chap Goh Meh terakhir di Kampung Lee Kong Chian pada 3 Mac 2026 sebagai tanda perpisahan penuh hormat.
Mewakili barisan penganjur, Yap Peling, Jane Ngiow, Ivy Teoh, dan LAI mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh warga Wangsa Maju dan Setapak.









Comments