Diplomasi Malaysia pragmatik berstrategi, tidak terperangkap retorik politik
- Suara Keadilan
- 20 minutes ago
- 3 min read

Oleh: Helmi Foad
Diplomasi Malaysia dengan negara besar seperti Amerika Syarikat (AS) perlu berlandaskan pendekatan pragmatik berstrategi serta integriti moral yang kukuh tanpa terpengaruh dengan sentimen politik domestik.
Setiausaha Politik Ahli Parlimen Segamat, Venissha Kennedy berkata, kerajaan tidak seharuskan terperangkap dengan permainan emosi atau retorik politik yang hanya mementingkan reaksi segara tanpa mengambil kira kepentingan jangka panjang negara.
"Diplomasi bukan soal meletakkan emosi di hadapan. Malaysia perlu mengamalkan pendekatan yang pragmatik, berfikir jauh ke hadapan untuk melindungi kepentingan negara kita tanpa terperangkap dalam permainan politik yang bersifat sementara," katanya dalam kenyataan.
Menurut Venissha, melalui diplomasi yang pragmatik Malaysia berjaya mengurangkan tarif perdagangan daripada 25% kepada 19% dengan Amerika Syarikat yang mana ia bukanlah satu kebetulan atau keputusan emosi tetapi hasil daripada perundingan yang berdisiplin dan kebijaksanaan institusi.
"Keputusan ini bukan dicapai melalui seruan sentimen tetapi melalui diplomasi yang berasas kepada strategi dan pengurusan perhubungan antarabangsa yang teliti," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia juga berjaya memainkan peranan sebagai perantara hingga termeterainya Perjanjian Damai Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur.
"Peranan Malaysia dalam memupuk kestabilan serantau dengan memastikan persetujuan antara kedua-dua negara ini dilaksanakan secara sah menunjukkan betapa pentingnya peranan kita dalam menjaga keamanan dan kerjasama serantau," kata Venissha.
Diplomasi yang efektif memerlukan perjanjian yang formal dan mengikat, bukannya hanya sekadar janji kosong atau pernyataan bersifat sementara, ujarnya.
Menurut Venissha, Malaysia perlu mengambil langkah berjaga-jaga dalam berurusan dengan negara seperti AS yang kadang-kadang dipimpin oleh figura yang tidak konsisten dalam pendirian mereka seperti yang disaksikan di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.
"Trump memberikan kita banyak pengajaran mengenai pentingnya foresight (pandangan jauh) dalam diplomasi. Keputusannya sering kali bercelaru, antara keputusan yang dibuat dengan tergesa-gesa dan berasaskan pengiraan strategik.
"Justeru itu, kita perlu memastikan bahawa setiap hubungan diplomatik kita dilindungi dengan komitmen sah yang mengikat," ujar beliau.
Venissha turut menekankan mengenai pentingnya Malaysia untuk tetap berpegang kepada prinsip moral dalam menjalankan diplomasi tanpa mengabaikan kepentingan negara.
"Kita tidak boleh membiarkan moral atau prinsip kita digunakan sebagai senjata politik. Kita perlu terus konsisten dalam menyuarakan pendirian terhadap isu-isu kemanusiaan seperti perjuangan Palestin namun tanpa menjadikannya sebagai alat untuk mencetuskan ketegangan domestik atau menyerang pihak tertentu," katanya.
Dalam hal ini, Venissha mengkritik usaha pihak pembangkang yang menggunakan sentimen kemanusiaan terutamanya mengenai Gaza untuk memanipulasi perasaan rakyat demi kepentingan politik.
"Empati Malaysia terhadap Palestin adalah tulus dan sudah lama wujud. Tetapi kita tidak boleh membiarkan isu ini dijadikan teater politik untuk meraih sokongan sementara. Isu kemanusiaan perlu ditangani dengan serius, tanpa mempolitikkan emosi rakyat," tambah beliau.
Beliau menegaskan Malaysia perlu terus mengukuhkan kedudukan diplomatiknya dengan negara besar termasuk Amerika Syarikat tetapi dalam kapasiti yang lebih berautonomi.
"Walaupun hubungan Malaysia dengan AS dalam aspek perdagangan, kewangan dan teknologi tidak boleh dipisahkan begitu sahaja, kita perlu berusaha untuk mempelbagaikan hubungan strategik.
"Memperkuatkan kerjasama dalam ASEAN dan mempertingkatkan hubungan dengan negara-negara di kawasan adalah langkah yang perlu diambil agar Malaysia tidak terlalu bergantung kepada satu pihak sahaja," ujar beliau.
Malaysia harus mengutamakan langkah-langkah strategik yang mengurangkan kebergantungan kepada kuasa besar, katanya lagi.
"Meskipun pada waktu ini, kita tidak boleh memutuskan hubungan secara total dengan Amerika Syarikat tetapi Malaysia perlu berusaha ke arah memperkukuhkan autonomi strategiknya melalui kepelbagaian ekonomi dan meningkatkan kerjasama serantau di ASEAN dan negara-negara selatan," kata beliau.
Venissha menegaskan bahawa diplomasi yang berprinsip bukanlah tanda kelemahan sebaliknya adalah satu bentuk kekuatan tertinggi.
"Diplomasi adalah seni menjaga maruah negara tanpa mengorbankan kepentingan negara. Ia adalah mengenai berhubung dengan dunia tanpa tunduk kepada sesiapa dan bekerjasama tanpa berkompromi prinsip," kata beliau lagi.





