top of page

Diesel bakal naik, Thailand tidak mampu lagi tampung subsidi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Keputusan Thailand untuk menghentikan kawalan harga bahan api dan beralih kepada bantuan bersasar mencerminkan tekanan besar yang sedang dihadapi oleh negara-negara ASEAN akibat ketidaktentuan harga bahan api global.


Kenaikan harga minyak akibat konflik di Timur Tengah telah memberi kesan langsung kepada kos pengangkutan, pengeluaran dan akhirnya harga barangan di seluruh rantau ini.


Dari sudut ekonomi ASEAN, langkah Thailand ini menunjukkan peralihan dasar daripada subsidi menyeluruh kepada pendekatan yang lebih berfokus.


Dalam konteks ini, tindakan Thailand selari dengan pendekatan yang telah diambil oleh Malaysia melalui pelaksanaan subsidi bersasar bahan api sejak tahun lalu.


Kerajaan akan membenarkan harga tenaga domestik bergerak selaras dengan kuasa pasaran, demikian menurut Menteri Kewangan Ekniti Nitithanprapas dalam satu rancangan berita televisyen pada Rabu dipetik laporan Bangkok Post.


Beliau menambah bahawa kawalan harga sebelum ini telah menyebabkan herotan pasaran, aktiviti penyorokan serta kerugian bajet yang tidak perlu.


Pada 2 Mac, kerajaan Thailand mengumumkan had harga bagi bahan api pengangkutan yang paling banyak digunakan, dengan menyatakan bahawa harga diesel tidak akan melebihi 33 baht seliter.


Namun, susulan langkah tersebut, Dana Minyak Negara terpaksa membelanjakan 20 bilion baht dalam tempoh tiga minggu untuk memberi subsidi harga bahan api iaitu kira-kira 1 bilion baht sehari.


Subsidi terus meningkat, mencecah 27 baht seliter bagi diesel dan 9.70 baht bagi petrol dan kini menelan kos sekitar 2.5 bilion baht sehari.


Dalam pada itu, Malaysia lebih awal lagi mengurangkan subsidi pukal dan menyalurkan bantuan hanya kepada kumpulan yang layak seperti golongan berpendapatan rendah dan sektor tertentu.


Langkah ini bertujuan mengurangkan beban kewangan kerajaan serta memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.


Dasar baru itu dilaksanan susulan amalan subsidi pukal seperti penetapan harga siling sering membebankan fiskal kerajaan kerana kosnya meningkat secara mendadak apabila harga minyak global naik.


Selain itu, ia boleh menyebabkan ketirisan seperti penyeludupan dan penggunaan berlebihan yang seterusnya menjejaskan kecekapan pasaran.


Negara-negara ASEAN lain yang masih mengekalkan subsidi luas berkemungkinan akan menghadapi tekanan fiskal yang sama jika harga minyak kekal tinggi.


Secara keseluruhannya, tindakan Thailand dan Malaysia menunjukkan satu trend penting dalam ASEAN iaitu peralihan ke arah dasar tenaga yang lebih mampan dan berdisiplin dari segi fiskal.


Walaupun langkah ini mungkin kurang popular dalam jangka pendek kerana kenaikan kos sara hidup, ia dilihat sebagai strategi penting untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang berpanjangan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page