Dialog, kerjasama inklusif teras keamanan dan kemakmuran global - PM
- Suara Keadilan
- 12 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keamanan dan kemakmuran dunia tidak akan tercapai tanpa asas kepercayaan, kesabaran serta dialog berterusan antara negara.
Sebaliknya beliau menekankan bahawa kekerasan hanya akan memanjangkan penderitaan dan konflik.
"Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja menjadi peringatan bahawa keamanan dan kemakmuran tidak akan kekal tanpa kepercayaan, kesabaran dan rundingan berterusan.
"Prinsip yang sama harus diangkat dalam konteks Gaza dan Ukraine bahawa penyelesaian berasaskan dialog, bukan kekerasan, adalah satu-satunya jalan menuju keamanan yang hakiki," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau berkata demikian dalam reaksi selepas menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di Gyeongju, Korea Selatan.
Anwar berkata keyakinannya terhadap keperluan dialog dan kerjasama serantau semakin utuh selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.
Beliau berkata, APEC telah membuktikan dirinya sebagai pelopor yang memacu semangat keterbukaan dan tanggungjawab moral, di samping memperkenalkan norma ekonomi global berasaskan kerjasama sukarela, bukan paksaan.
Menurut Anwar, APEC kini memainkan peranan penting dalam membentuk idea baharu untuk menghadapi cabaran masa depan seperti pertumbuhan hijau dan kewangan mampan, transformasi digital yang inklusif, rantaian bekalan berdaya tahan serta peralihan tenaga bersih dan keselamatan makanan.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerjasama sejati menuntut penyertaan menyeluruh antara kerajaan, industri, ahli akademik dan masyarakat bukan untuk berkongsi kuasa, tetapi untuk berkongsi tujuan dan matlamat bersama.
Dalam konteks global, Anwar menyeru agar APEC menjadi jambatan bukan sahaja antara ekonomi Asia Pasifik malah memperluas keterlibatan dengan rantau Amerika Latin dan Afrika bagi membentuk tatanan ekonomi dunia lebih adil dan seimbang antara negara maju serta negara membangun.
"Semua ini seiring dengan aspirasi ekonomi Madani yang membina ekonomi inklusif, berdaya tahan dan mapan demi manfaat rakyat," katanya.





