"Di Sebalik Keputusan": PMX berani menjawab, MADANI mesti berani buktikan


Demokrasi bukan sekadar proses memilih kerajaan melalui pilihan raya. Demokrasi juga menuntut keterbukaan, akauntabiliti dan kesediaan pemimpin berhadapan dengan pandangan berbeza - Yahya
Keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab pelbagai persoalan secara terbuka menerusi Dialog Negara Khas: “Di Sebalik Keputusan...” perlu diterjemahkan kepada prestasi dan hasil nyata oleh seluruh jentera Kerajaan MADANI.
Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, dialog yang berlangsung pada 25 November lalu membawa mesej jelas bahawa kepimpinan negara bukan sahaja perlu membuat keputusan, malah bersedia menjelaskan rasional, menerima kritikan dan mempertanggungjawabkan setiap tindakan kepada rakyat.
Beliau berkata, keberanian Anwar tampil menjawab persoalan secara terbuka mencerminkan kepimpinan yang memahami demokrasi tulen.
"Demokrasi bukan sekadar proses memilih kerajaan melalui pilihan raya. Demokrasi juga menuntut keterbukaan, akauntabiliti dan kesediaan pemimpin berhadapan dengan pandangan berbeza," katanya satu dalam kenyataan.
Menurutnya, Kerajaan MADANI tidak seharusnya dinilai berdasarkan polemik politik atau persepsi yang sengaja dimainkan, sebaliknya melalui fakta, pertimbangan kepentingan nasional serta kesan dasar terhadap kehidupan rakyat.
Beliau turut menyifatkan penegasan Perdana Menteri bahawa rasuah merupakan masalah sistemik yang perlu ditangani tanpa kompromi sebagai mesej penting dalam usaha membebaskan negara daripada budaya melindungi individu berpengaruh, penyalahgunaan kuasa dan ketirisan wang rakyat.
Bagaimanapun, kata beliau, ketegasan terhadap rasuah perlu dibuktikan melalui tindakan, termasuk memastikan siasatan bebas, pendakwaan berlandaskan bukti dan undang-undang serta tiada keistimewaan diberikan kepada mana-mana pihak kerana kedudukan atau hubungan politik.
Yahya berkata, pendirian Perdana Menteri mengenai perlindungan penduduk asal dalam pembangunan semula bandar yang bakal digubal dalam akta baharu serta pengekalan kadar asas rawatan kesihatan awam pula memperlihatkan prinsip pembangunan yang tidak mengorbankan kebajikan rakyat.
"Begitu juga isu kesihatan awam, pendidikan dan kesihatan mental. Kejayaan negara tidak boleh diukur melalui angka pertumbuhan ekonomi semata-mata sekiranya rakyat masih berhadapan kesukaran mendapatkan rawatan, pendidikan berkualiti dan kehidupan yang sejahtera.
"Kita mahu pembangunan yang adil, peluang yang lebih seimbang dan sistem penyampaian yang tidak meninggalkan golongan rentan," katanya.
Dana Kekayaan AI
Selain itu, beliau turut menyifatkan cadangan mengkaji penubuhan Dana Kekayaan AI yang ditimbulkan oleh salah seorang wakil sektor berkenaan sebagai pemikiran yang wajar diberikan perhatian serius bagi memastikan Malaysia tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya turut menikmati nilai ekonomi yang dihasilkan sektor berkenaan.

Katanya, ekosistem kecerdasan buatan (AI) perlu dibangunkan bagi membuka peluang kepada anak muda, meningkatkan produktiviti perusahaan tempatan, memperkukuh kemahiran tenaga kerja dan memastikan manfaat kemajuan teknologi dikongsi secara lebih adil.
Dalam masa sama, langkah memperketat kawal selia lambakan barangan murah dari luar negara perlu dilaksanakan secara berkesan bagi melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi rakyat.
Mengulas kebebasan bersuara mahasiswa, Yahya berkata, komitmen memperluas ruang berkenaan merupakan isyarat penting bahawa reformasi perlu bermula dengan pembinaan budaya pemikiran kritis dan terbuka.
"Universiti sepatutnya menjadi ruang percambahan idea, perdebatan intelektual dan pembentukan kepimpinan masa depan. Mahasiswa tidak boleh terus dianggap sebagai golongan yang hanya perlu mendengar tanpa diberikan ruang menyuarakan pandangan.
"Negara memerlukan generasi yang berani berfikir, berani menegur dan bertanggungjawab terhadap masa depan Malaysia," katanya.
Beliau turut mengambil perhatian penjelasan Anwar bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan berlangsung sebelum Februari 2028, yang memberikan gambaran negara sedang menuju satu lagi penilaian penting terhadap mandat kepimpinan nasional.
Terjemah dasar kepada keselesaan rakyat
Bagaimanapun, katanya, Kerajaan MADANI tidak boleh terlalu selesa dengan mandat sedia ada, sebaliknya tempoh pentadbiran berbaki perlu dimanfaatkan untuk mempercepat pembaharuan, memperkukuh ekonomi dan menyelesaikan persoalan rakyat.
Menurutnya, setiap kementerian, agensi, kerajaan negeri dan wakil rakyat perlu memastikan dasar yang diumumkan diterjemahkan kepada pencapaian boleh diukur, selain kelemahan penyampaian di peringkat pelaksanaan tidak menjejaskan keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi.
"Sokongan terhadap kepimpinan PMX dan Kerajaan MADANI bukan bermaksud kita harus menutup mata terhadap kelemahan atau berpuas hati dengan pencapaian sedia ada.
"Sebaliknya, sokongan yang bertanggungjawab menuntut kita terus memperkukuh pentadbiran, menegur kelemahan dan memastikan agenda reformasi dilaksanakan dengan lebih pantas serta berkesan," katanya.
Yahya berkata, Dialog Negara Khas itu seharusnya menjadi permulaan kepada budaya komunikasi dua hala lebih meluas, dengan kerajaan bukan sahaja menjelaskan dasar kepada rakyat, tetapi turut mendengar denyut nadi masyarakat.
"Lawan politik boleh terus membina persepsi, memainkan polemik dan mempertikaikan setiap keputusan. Namun, jawapan terbaik Kerajaan MADANI bukanlah dengan retorik balas, tetapi dengan prestasi, integriti dan hasil yang boleh dibuktikan.
"PMX telah tampil menjawab. Kini seluruh jentera Kerajaan MADANI mesti tampil membuktikan.
"Reformasi bukan retorik. Keadilan bukan slogan. Integriti bukan pilihan," katanya.




Comments