top of page

Jangan samakan BAP dengan BKJ, konteks pengagihan berbeza - Fadhlina

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
6 hours ago
2 min read


Tidak perlulah Menteri Besar Johor menjadikan BAP sebagai justifikasi terhadap kaedah pengagihan BKJ yang telah menimbulkan kesulitan kepada rakyat - Fadhlina

Pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tidak boleh dijadikan justifikasi bagi mempertahankan kaedah pengagihan Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara bersemuka yang pernah berlaku ketika negeri itu menuju pilihan raya negeri beberapa bulan lalu, demikian kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek


Beliau berkata perkara yang dipertikaikan dalam pengagihan BKJ bukan pemberian bantuan kepada rakyat, sebaliknya kewajaran mengagihkan bantuan kerajaan dengan melibatkan ahli politik selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan.


"Tidak perlulah Menteri Besar Johor menjadikan BAP sebagai justifikasi terhadap kaedah pengagihan BKJ yang telah menimbulkan kesulitan kepada rakyat," katanya menerusi hantaran di Threads.


Kenyataan itu sebagai reaksi terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang hari ini membandingkan kritikan terhadap kaedah pengagihan BKJ secara bersemuka dengan pelaksanaan BAP yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.


Onn Hafiz menyindir bahawa kaedah yang sebelum ini dikritik ketika Pakatan Harapan (PH) memegang mandat kini turut dilaksanakan menerusi BAP yang menghendaki ibu bapa mengambil bantuan tunai di sekolah.


"Masa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, mengutuk dan mempertikaikan kaedah penyerahan BKJ. Tapi syukur, hari ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri nampak keberkesanan cara pelaksanaan Bantuan Kasih Johor," katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan Johor 2027 dipetik media tempatan.


Fadhlina menjelaskan pengagihan bantuan sepatutnya meringankan beban rakyat dan bukannya menambah kesulitan termasuk kepada warga emas yang terpaksa beratur panjang serta menunggu berjam-jam untuk menerima bantuan.


Bagaimanapun katanya berbeza dengan BAP yang merupakan bantuan tahunan mengikut takwim persekolahan dengan pengagihannya bertujuan menghubungkan ibu bapa dengan guru yang mendidik anak-anak, bukannya pemimpin politik.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 November lalu mengingatkan supaya ibu bapa hadir ke sekolah bagi menerima BAP RM200 untuk setiap murid bagi sesi persekolahan 2027.


Beliau berkata bantuan itu perlu disalurkan di sekolah dan tidak dihantar ke rumah, kecuali dalam keadaan tertentu bagi membolehkan ibu bapa bertemu guru serta mendapatkan maklumat mengenai perkembangan akademik, disiplin dan sahsiah anak-anak.


BAP bagi sesi 2027 dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 setiap murid melibatkan kira-kira 5.3 juta penerima dengan peruntukan RM1 bilion seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027.


Fadhlina berkata pendekatan itu penting memandangkan dapatan PISA 2025 menunjukkan hanya 34 peratus murid di Malaysia berbincang dengan ibu bapa atau  penjaga mengenai masalah di sekolah sekurang-kurangnya sekali seminggu berbanding 46 peratus pada 2022.


Menurut beliau, penurunan itu perlu diberi perhatian serius ketika sistem pendidikan berdepan pelbagai cabaran termasuk isu disiplin dan kesihatan mental murid yang memerlukan penglibatan aktif ibu bapa, bukan hanya guru.


Justeru itu, jelas beliau, kementerian mahu memanfaatkan kesempatan pengagihan BAP untuk memperkukuh hubungan antara ibu bapa dengan guru di samping memastikan urusan penerimaan bantuan dipermudah.


"Kita mahu ibu bapa pulang dari sekolah bukan hanya dengan RM200 di tangan tetapi juga dengan kefahaman yang lebih baik tentang perkembangan anak-anak mereka.


"Saya kira perbezaan konteks dan rasional pelaksanaan kedua-dua bantuan ini cukup jelas," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page