top of page

Bantuan Kasih Johor kelam-kabut, BAP lebih jelas – AMK Johor

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
10 minutes ago
2 min read
Jelajah Kaunter Bergerak AMK Johor menjadi tempat meluahkan kekesalan rakyat berhubung agihan BKJ
Jelajah Kaunter Bergerak AMK Johor menjadi tempat meluahkan kekesalan rakyat berhubung agihan BKJ

Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Jalex Lee menyifatkan pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) sebelum ini mengelirukan rakyat berbanding Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang memerlukan ibu bapa bertemu guru mengambil wang RM200, mempunyai mekanisme agihan lebih jelas dan teratur.


Beliau berkata, kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang membandingkan kedua-dua bantuan itu dilihat memutarbelitkan fakta serta tidak menggambarkan realiti pelaksanaan BKJ.


Menurutnya, ketika BKJ dilaksanakan, AMK Johor sedang menjalankan program Jelajah Kaunter Bergerak dan lebih 80 peratus aduan diterima sepanjang program berkenaan berkaitan bantuan itu.

Jalex Lee
Jalex Lee

"Hakikatnya, ramai rakyat Johor ketika itu keliru dan tidak tahu bagaimana proses pemberian BKJ dilaksanakan. Malah, penempatan lokasi pengambilan bantuan juga tidak konsisten sehingga menyukarkan penerima.


"Sebagai contoh, penduduk Taman Setia Indah di kawasan Puteri Wangsa diarahkan untuk mengambil bantuan di lokasi yang jauh seperti Tiram atau Larkin," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jalex berkata, terdapat juga warga emas yang mendapati mereka tidak layak menerima bantuan selepas membuat semakan, meskipun tergolong dalam kategori yang sepatutnya layak.


Sebaliknya, beliau berkata pelaksanaan BAP lebih mudah difahami kerana bantuan disalurkan melalui sekolah masing-masing, dengan pihak sekolah menjadi saluran pengagihan kepada pelajar yang layak.


"Setiap pelajar yang layak akan menerima bantuan melalui sekolah masing-masing, dengan pihak sekolah menjadi saluran pengagihan. Dasar dan kaedah pemberiannya juga jelas.


"Contohnya, jika seseorang pelajar bersekolah di SMK Desa Tebrau, ibu bapa boleh menerima bantuan melalui sekolah tersebut. Tidak perlu pening kepala membuat semakan kelayakan yang rumit atau tertanya-tanya di mana lokasi pengambilan bantuan. Semuanya mudah, teratur dan jelas," katanya.


Sehubungan itu, beliau menyeru Onn Hafiz supaya menyemak fakta dan memahami realiti pelaksanaan sesuatu dasar sebelum membuat perbandingan yang tidak tepat.


Katanya, setiap bantuan mempunyai kaedah serta mekanisme tersendiri dan tidak wajar mengaitkan dua perkara yang jelas berbeza.


"Daripada mengkritik bantuan lain, lebih baik MB Johor memberi tumpuan kepada kelemahan pelaksanaan BKJ sendiri, mengakui kekurangan yang berlaku dan mengambil langkah untuk menambah baik sistem penyampaian bantuan tersebut.


"Rakyat tidak perlukan alasan atau perbandingan yang mengelirukan. Apa yang rakyat mahukan ialah bantuan yang mudah difahami, mudah diterima dan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.


Untuk rekod, BKJ memerlukan rakyat yang layak bertemu ahli politik BN di peringkat negeri untuk mendapatkan wang dijanjikan sedangkan BAP hanya bertemu guru sekolah dan diberitahu prestasi murid, tiada tiada sebarang unsur politik atau percubaan ahli politik 'menabur budi'.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page