DAP Sarawak pertahan autonomi, tentukan calon bertanding PRN


DAP Sarawak menegaskan keputusan mengenai kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 ditentukan sepenuhnya oleh kepimpinan negeri itu meskipun Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengambil keputusan tidak menyertai pilihan raya berkenaan.
Pengerusinya, Chong Chieng Jen (gambar) berkata pendirian itu dipersetujui selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bagi membincangkan perkembangan politik susulan keputusan KEADILAN menarik diri daripada PRN Sarawak.
Menurut beliau, autonomi DAP Sarawak dalam menentukan penyertaan pilihan raya, jumlah kerusi, calon serta penandatanganan watikah untuk bertanding menggunakan logo parti merupakan prinsip yang selama ini dipertahankan.
"Ini bukan satu konsesi baharu. Ia merupakan prinsip yang sentiasa dipegang DAP Sarawak. Perkara berkaitan Sarawak diputuskan oleh DAP Sarawak sendiri.
"Ini termasuk jumlah kerusi yang ditandingi, pemilihan calon dan penandatanganan watikah untuk bertanding menggunakan logo DAP. Semua keputusan ini dibuat di Sarawak oleh DAP Sarawak," katanya dalam hantaran di Facebook.
Chong berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP turut mengesahkan pendirian menghormati autonomi berkenaan dan akan mematuhi aturan itu dalam parti.
Beliau turut mengumumkan semua pemimpin DAP bukan berasal dari Sarawak yang memegang jawatan menteri atau timbalan menteri Persekutuan tidak akan terlibat dalam kempen PRN negeri itu.
Katanya langkah berkenaan dibuat atas semangat Kerajaan MADANI dan bagi menghormati rakan gabungan di peringkat Persekutuan.
DAP Sarawak akan mengetuai kempen menggunakan pemimpin, anggota serta mesej parti sendiri bagi mendapatkan sokongan pengundi.
"Rekod dan komitmen kami kepada rakyat Sarawak akan berbicara dengan sendirinya," katanya.
Pendirian itu menyusul pengumuman DAP Sarawak sebelum ini mengenai senarai calon yang akan bertanding dalam PRN kali ini, dengan parti berkenaan setakat ini mengumumkan bakal bertanding di 12 kerusi DUN.
Chong sebelum ini mengumumkan bakal kembali bertanding di DUN Kota Sentosa, kerusi yang pernah diwakilinya selama tiga penggal dari 2006 hingga 2021 sebelum berpindah ke Padungan pada PRN 2021.
Antara calon lain ialah Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang akan bertanding di Batu Lintang manakala Violet Yong mempertahankan Pending dan Michael Kong Feng Nian bertanding di Padungan.
DAP turut menampilkan Jordan Soo Tien Ren di Batu Kitang, Sim Kiat Leng di Batu Kawah, Lim Nee Kon di Opar, Chiew Chan Yew di Tanjong Batu, Voon Kai Foo di Pujut, Stanley Chiew di Bukit Assek, Irene Wong di Pelawan dan Roderick Wong di Meradong.
Pada PRN Sarawak 2021, DAP bertanding di 26 kerusi DUN tetapi hanya memenangi dua iaitu Padungan menerusi Chong dan Pending yang dipertahankan Violet Yong.
Keputusan DAP mempertahankan autonomi bertanding itu juga berlaku ketika dua lagi parti komponen Pakatan Harapan (PH), KEADILAN dan Parti Amanah Negara (AMANAH), mengambil keputusan tidak menyertai PRN Sarawak.
KEADILAN Sarawak pada 25 November mengumumkan tidak bertanding atas alasan menghormati semangat kerjasama dan konsensus politik dengan GPS dalam Kerajaan Perpaduan selain mahu menjaga kestabilan politik serta memberi tumpuan kepada pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
KEADILAN bertanding di 28 kerusi pada PRN 2021 tetapi gagal memenangi sebarang kerusi.
AMANAH pula mengumumkan tidak bertanding bagi memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) termasuk menggerakkan sumber dan tenaga parti untuk menghadapi pilihan raya nasional.
PRN Sarawak ke-13 melibatkan 82 kerusi DUN dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November, undi awal 8 Disember dan hari mengundi 12 Disember 2026.




Comments