Inisiatif perketat kawalan pintu masuk libatkan Kementerian Pertahanan


Penglibatan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam memperluas kawalan keselamatan di pangkalan udara, darat dan laut seluruh negara merupakan usaha terbaharu kerajaan menerusi 17 inisiatif memperketat kawalan pintu masuk negara.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri bersetuju supaya 17 inisiatif yang sebelum ini dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) diperluaskan kepada MINDEF untuk dilaksanakan sesegera mungkin.
Beliau berkata, 17 inisiatif berkenaan sebelum ini memberi tumpuan kepada peningkatan tahap keselamatan di beberapa lokasi strategik termasuk lapangan terbang dan telah terbukti memberi kesan positif dalam mengesan pihak yang cuba menyalahgunakan saluran atau laluan berkenaan.
Katanya, langkah memperluaskan insiatif itu amat mustahak susulan kes penahanan pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), selain memastikan aset ketenteraan negara yang diwujudkan bagi tujuan pertahanan tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa 17 insiatif yang dilaksanakan antara KDN dan MOT (sebelum ini) akan diperluaskan dengan melibatkan pihak MINDEF sesegera mungkin.
"Pangkalan udara semestinya di bawah jagaan pihak MINDEF, tetapi inisiatif-inisiatif ini akan dikembangkan untuk dilaksanakan oleh pihak MINDEF,’’ katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menegaskan, kelompongan itu mesti ditutup dengan segera dan pihak kerajaan komited memastikan aset ketenteraan tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan mempunyai niat jahat.
Hari ini, tiga pegawai TUDM dan tiga orang awam dilapor didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan mengedar dadah menggunakan aset TUDM.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine 96.2 kilogram (kg) di Pangkalan TUDM Subang pada 17 November lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes itu susulan penahanan 11 individu terdiri daripada lima pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit aktiviti penyeludupan dadah menggunakan aset TUDM pada 17 November lalu
Polis turut merampas 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kg bahan kimia dalam operasi terbabit.




Comments