top of page

Stesen radio siar video kaitkan solat dengan bola sepak perlu minta maaf secara terbuka

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
31 minutes ago
2 min read
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan

Pengurusan sebuah stesen radio digesa segera menurunkan kandungan yang mengaitkan ibadah solat dengan perlawanan kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) serta membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, ibadah solat merupakan tiang agama dan syiar suci umat Islam yang wajib dipelihara kemuliaannya serta tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka atau hiburan murahan.


Beliau berkata, tindakan mengaitkan ibadah berkenaan dengan kandungan hiburan dalam apa juga bentuk penyiaran perlu diberikan perhatian serius.


"Ibadah solat merupakan tiang agama dan syiar suci umat Islam yang wajib dipelihara kemuliaannya, serta sama sekali tidak boleh dijadikan bahan jenaka, hiburan murahan, mahupun elemen parodi dalam apa jua bentuk penyiaran," katanya dalam satu kenyataan.


Zulkifli berkata, semua pengamal media dan pencipta kandungan perlu sentiasa peka terhadap sensitiviti keagamaan serta mematuhi garis panduan penyiaran yang ditetapkan bagi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.


Menurutnya, kebebasan berkarya dan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk mempersendakan ritual ibadah atau menyentuh perkara asas akidah sehingga berpotensi mengundang kemarahan masyarakat serta menggugat ketenteraman awam.


"Kebebasan berkarya dan bersuara tidak sesekali menghalalkan tindakan mempersendakan ritual ibadah atau menyentuh perkara asas akidah yang boleh mengundang kemarahan serta menggugat ketenteraman awam," katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa pihak pengurusan stesen radio terbabit mengambil tindakan segera terhadap ketelanjuran berkenaan.


Beliau turut mengingatkan supaya langkah sewajarnya diambil bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.


Zulkifli menyeru semua pihak supaya memelihara adab, menghormati kesucian agama dan menjadikan platform media sebagai wadah yang mendidik serta menyatupukan masyarakat.


"Marilah kita bersama-sama memelihara adab, saling menghormati kesucian agama, serta menjadikan platform media sebagai wadah yang mendidik dan menyatupukan masyarakat demi keredaan Allah," katanya lagi.


Untuk rekod, sebuah stesen radio tempatan sebelum ini memuat naik satu rakaman video yang menunjukkan dua individu sedang bersolat dengan kapsyen bertajuk Praying for Man United selepas perlawanan menentang Sporting CP.


Video berkenaan mencetuskan perhatian dan reaksi orang ramai kerana menggunakan elemen ibadah solat dalam kandungan berkaitan bola sepak dikecam kerana tidak sensitif terhadap ibadah umat Islam dalam penghasilan kandungan hiburan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page