Pemuda Amanah dan Peguam Muda Amanah akan menyediakan khidmat guaman percuma pada sebelum dan semasa demonstrasi aman #TangkapAzamBaki yang akan berlangsung pada 22 Januari ini.
Menurut jurucakap Peguam Muda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda, pasukan itu menyokong tunjuk perasaan pada Sabtu, di hadapan kompleks membeli belah Sogo yang bersesuaian dengan hak asasi manusia di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
"Peguam Muda Amanah menyokong penuh demo 'Tangkap Azam Baki, rombak SPRM' yang dianjurkan Sabtu ini dan dijamin Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, iaitu kebebasan berhimpun.
"Kami bukan sahaja menyatakan komitmen untuk mobalisasi seramai mungkin pemuda Amanah ke Sogo tetapi juga berkomitmen menyediakan sekurang kurangnya 10 - 20 peguam bagi memerhatikan demo tersebut.
"Mereka akan memastikan tiada sebarang tindakan melanggar undang undang serta demo aman ini akan berjalan dengan teratur, aman dan mengikut SOP ditetapkan," katanya.
Beliau juga menasihati kepada sesiapa yang mengalami atau dikenakan intimidasi menjelang himpunan tersebut agar menghubumgi segera pasukan Peguam Muda Amanah.
"Kami dimaklumkan tindakan intimdasi telah dimulakan, saudara Adam Adli telah pun dipanggil polis untuk siasatan pada Khamis ini.
"Jadi untuk itu Peguam Muda Amanah menawarkan khidmat secara pro bono, sama ada kepada penganjur atau mereka yang menyebarkan apa apa poster (perhimpunan). Seperti mana sebelum ini ada anak muda sebar poster sahaja pun dipanggil polis juga pelbagai intimidasi lain," katanya.
Selain itu, Fadzli turut mengumumkan satu pentas pemuda akan diadakan pada malam sebelum demo #TangkapAzamBaki yang akan mengumpulkan wakil setiap sayap pemuda Pakatan Harapan selain wakil jawatankuasa bertindak #TangkapAzamBaki.
Comments