top of page

Delegasi Malaysia ke Brussels bawa mandat tingkat tekanan terhadap Israel

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read
Datuk Sani (kiri sekali), Ketua Kaukus Parlimen bagi Palestin, Syed Ibrahim (dua dari kanan) dan delegasi Malaysia akan melaksanakan misi memberi lebih tekanan kepada Israel di Belgium
Datuk Sani (kiri sekali), Ketua Kaukus Parlimen bagi Palestin, Syed Ibrahim (dua dari kanan) dan delegasi Malaysia akan melaksanakan misi memberi lebih tekanan kepada Israel di Belgium

Delegasi Malaysia ke Global Sumud Parliamentary Congress di Brussels, Belgium membawa mandat untuk meningkatkan tekanan politik antarabangsa terhadap rejim Israel.


Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby menegaskan, Malaysia tiada pilihan selain memanfaatkan semua medan perjuangan—di darat, di laut dan di pentas antarabangsa—bagi menuntut tindakan segera komuniti global menghentikan krisis Palestin yang semakin memuncak.


"Penyertaan Malaysia dalam kongres berkenaan sangat penting pada garis masa kritikal, susulan perkembangan terbaharu yang melibatkan undang-undang hukuman gantung mandatori terhadap ribuan tahanan Palestin di penjara rejim, yang mencetuskan kemarahan dan kebimbangan serius terhadap pelanggaran hak asasi manusia," katanya dipetik ketika dalam perjalanan ke Brussels semalam.


Global Sumud Parliamentary Congress dijadulkan berlangsung hari ini.


Kongres sulung Global Sumud itu memfokuskan kepada satu deklarasi yang disifatkan sebagai keperluan kemanusiaan segera dan pendirian politik bersejarah, dengan teras utama menyeru penubuhan koridor maritim kemanusiaan ke Gaza yang disahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berlandaskan undang-undang antarabangsa.

Delegasi negara disertai ahli kaukus Palestin di Parlimen Malaysia antaranya Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman.


Ia juga melibatkan kumpulan perunding kemanusiaan daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Cinta Gaza Malaysia, Cinta Salam Malaysia serta Gagasan MyAqsa Defender, penasihat dan pakar undang-undang dari Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) serta pengamal media TV AlHijrah dan Bernama.


Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia Syed Ibrahim Syed Noh berkata kongres itu, menekankan bahawa tekanan kemanusiaan sahaja tidak mencukupi—ia mesti disokong dengan tindakan politik tersusun melalui Parlimen, resolusi antarabangsa dan suara kolektif negara-negara dunia.


"Penyertaan Malaysia bukan sekadar simbolik, tetapi langkah strategik untuk membina tekanan global yang lebih tersusun dan berkesan demi menamatkan kezaliman serta menegakkan keadilan," jelasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page