top of page

Lawatan delegasi parti kerajaan ke China tingkat kerjasama strategik ekonomi, teknologi

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 14 minutes ago
  • 2 min read
Dr Zaliha (dua dari kiri) dan Naib Ketua Wanita KEADILAN, Ker Chean (dua dari kanan) bertemu Naib Menteri di International Department of the Central Committee of the Communist Party of China, Jin Xin, di Beijing
Dr Zaliha (dua dari kiri) dan Naib Ketua Wanita KEADILAN, Ker Chean (dua dari kanan) bertemu Naib Menteri di International Department of the Central Committee of the Communist Party of China, Jin Xin, di Beijing

Malaysia mempergiat kerjasama strategik dengan China dalam sektor teknologi dan ekonomi masa hadapan apabila delegasi diketuai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memulakan lawatan kerja rasmi ke negara berkenaan yang turut melibatkan beberapa syarikat terkemuka dunia.


Menurut Dr Zaliha, lawatan itu dimulakan dengan pertemuan bersama Naib Menteri di International Department of the Central Committee of the Communist Party of China, Jin Xin, di Beijing.


"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Communist Party of China atas jemputan melalui Kedutaan China, serta kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk mengetuai delegasi ini.


"Pertemuan ini mencerminkan kepentingan hubungan antara parti sebagai pelengkap kepada hubungan dua hala Malaysia–China yang telah lama terjalin berasaskan prinsip saling hormat dan kepentingan bersama.


"Dalam perbincangan tersebut, mereka turut menyatakan penghargaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang konsisten menyuarakan pendirian Malaysia dalam isu-isu global, termasuk konflik Israel–Palestin dan konflik Asia Barat, berteraskan prinsip kedaulatan negara dan keamanan sejagat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Delegasi antara parti dari Malaysia menemui pimpinan parti Komunis China
Delegasi antara parti dari Malaysia menemui pimpinan parti Komunis China

Menurut Dr Zaliha lagi, lawatan itu juga merangkumi kunjungan ke beberapa syarikat terkemuka dunia seperti ZTE, BYD, Huawei dan BioKangtai, dengan tumpuan kepada bidang inovasi digital, telekomunikasi, tenaga bersih serta bioteknologi sebagai sektor strategik yang semakin penting dalam landskap pembangunan ekonomi masa hadapan.


"Delegasi ini turut disertai wakil daripada KEADILAN, DAP dan UMNO. Ini mencerminkan komitmen bersama merentas parti dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta membuka ruang pertukaran pandangan dalam bidang teknologi, pelaburan dan pembangunan ekonomi.


"Insya-Allah, lawatan ini akan terus memperluas jaringan kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page