top of page

Dekati Pas: 'Umno perlu hati hati, pernah ditipu, jangan ditipu lagi'

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
34 minutes ago
2 min read
Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. Foto: Dr Puad Zarkashi
Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. Foto: Dr Puad Zarkashi

Umno tidak seharusnya menyalahkan Pakatan Harapan (PH) atas kecenderungan parti itu untuk mendekati Pas kerana kegagalan kerjasama politik sebelum ini turut berpunca daripada tindakan Pas sendiri, kata bekas pemimpin Umno Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.


Beliau berkata, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan lebih rasional apabila mengingatkan parti supaya berhati-hati dalam usaha mendekati Pas berbanding Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Salleh.


"Akmal kata Umno dekati Pas kerana angkara PH. Akmal lupa angkara Pas menyebabkan Muafakat Nasional 1.0 tutup kedai. Sebab itu Mat Hassan lebih rasional. Dia kata Umno perlu lebih berhati-hati," katanya dalam muat naik di media sosial.


Menurut Puad, Umno juga perlu bermuhasabah dan melihat kepada kelemahan serta tindakan parti sendiri, bukannya hanya menyalahkan pihak lain.


"Bagaimana dengan angkara Umno sendiri? Angkara Umno ialah cepat lupa diri. Sudah pernah ditipu tetapi masih sedia ditipu. Semuanya kerana kuasa bukan prinsip," katanya.


Puad turut menyifatkan dakwaan bahawa Umno lebih mengutamakan prinsip berbanding kuasa sebagai hipokrit, sambil menegaskan parti itu sebenarnya bersikap pragmatik dalam menentukan hala tuju politik.


"Apakah berprinsip jika boleh bekerjasama dengan pihak yang mengakui penunggang agama?" soalnya.


Dalam pada itu, beliau mendakwa Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tidak menghayati hujah yang disampaikan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA) dalam Multaqa Ulama Umno.


Menurutnya, hujah mengenai konsep negara bangsa Malaysia yang diketengahkan Dr MAZA perlu diberi perhatian dalam membincangkan pendekatan politik semasa.


"Dr MAZA di multaqa itu berhujah tentang ‘Negara Bangsa’ Malaysia dengan menarik. Konsep nation state tidak ada dalam buku-buku lama seperti buku Al Ahkam Al Sultaniah tulisan Mawardi. Realiti dulu sudah berubah," katanya.


Puad berkata, sikap pragmatik tidak semestinya bermaksud seseorang atau parti perlu menggadaikan prinsip, sebaliknya prinsip perlu dikekalkan tanpa mengira kedudukan atau kerjasama politik.


"Sebab itu pragmatik tidak bermakna kita melanggar prinsip. Berprinsip ialah kita tidak mengubah pendirian di kandang mana pun kita berada. Hatta dalam kandang Kerajaan Perpaduan," katanya.


Beliau turut mempersoalkan kedudukan beberapa pemimpin bekas Umno yang kini bersama Perikatan Nasional (PN), termasuk tindakan Pas menawarkan jawatan Ketua Pembangkang kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin serta dakwaan sanggup mengetepikan Bersatu demi Wawasan.


"Dalam PN ada Wawasan. MP mereka asalnya dari Umno. Kenapa mereka tidak sertai Rumah Bangsa Umno? Kenapa ‘Langkah Bangkok’ gagal?


"Apakah tindakan Pas menawarkan jawatan Ketua Pembangkang pada Hamzah dan sanggup menendang Bersatu demi Wawasan bukan satu angkara?" soalnya.


Mengulas pendirian Mohamad yang mengingatkan Umno supaya lebih berhati-hati, Puad berkata pandangan itu wajar diberi perhatian.


"Tok Mat Hassan adalah benar. Hati-hatilah," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page