top of page

Dasar Kerajaan MADANI galak pelaburan jayakan Agenda Maju Johor

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 35 minutes ago
  • 2 min read

Pelbagai dasar dan inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan MADANI menerusi gagasan Malaysia MADANI merupakan pemangkin penting kepada kemajuan Johor, sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini.


Ketua Cabang KEADILAN Pengerang, Mohd Faizul Abd Ghani (gambar) berkata agenda pembangunan yang digerakkan Kerajaan Persekutuan hari ini menjadi pemacu kepada agenda Maju Johor di bawah Kerajaan Negeri yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan kebajikan sosial.


Menurut beliau, Johor merupakan antara negeri yang menerima manfaat besar daripada pelbagai projek strategik dan pelaburan yang dipacu oleh kestabilan politik serta dasar ekonomi yang jelas di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.


"Johor kini berada pada landasan yang kukuh untuk muncul sebagai hab ekonomi utama negara.


"Pelbagai projek infrastruktur, kemasukan pelaburan berkualiti tinggi serta pembangunan kawasan strategik seperti Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) membuka peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih luas kepada rakyat.


"Semua ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada komitmen Kerajaan MADANI yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan serta pengagihan manfaat pembangunan kepada rakyat," kata Faizul kepada Suara Keadilan.


Beliau berkata, selain projek-projek berskala besar yang merangsang ekonomi negeri, Kerajaan Persekutuan turut melaksanakan pelbagai inisiatif bersasar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat.


Antaranya termasuklah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang membantu meringankan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah dan sederhana, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang membolehkan penerima membeli barangan keperluan asas, serta Program BUDI MADANI yang memastikan subsidi diesel disalurkan secara lebih adil kepada golongan yang benar-benar memerlukan.


"Kerajaan bukan sahaja memikirkan soal pelaburan dan pembangunan mega, malah memastikan bantuan sampai terus kepada rakyat.


"Inisiatif seperti STR, SARA dan BUDI MADANI membantu keluarga menghadapi cabaran kos sara hidup, terutama dalam keadaan ekonomi global yang masih mencabar," katanya.


Tambah Mohd Faizul, program Jualan Rahmah yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh negara turut memberi manfaat besar kepada rakyat Johor dengan menawarkan pelbagai barangan keperluan pada harga lebih rendah berbanding pasaran.


Katanya, gabungan pembangunan ekonomi, perlindungan sosial dan bantuan bersasar merupakan formula terbaik untuk memastikan pertumbuhan yang dinikmati negeri dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.


"Apabila ekonomi berkembang, pelaburan meningkat dan peluang pekerjaan bertambah, rakyat memperoleh manfaat jangka panjang.


"Pada masa sama, bantuan seperti STR, SARA, BUDI MADANI dan Jualan Rahmah membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian.


"Inilah pendekatan yang seimbang. Kerajaan membina asas ekonomi yang kukuh sambil memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara," ujarnya.


Mohd Faizul berkata, rakyat Johor wajar melihat kesejahteraan yang dinikmati turut disokong pelbagai dasar dan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang saling melengkapi.


"Inisiatif Kerajaan Persekutuan hari ini memberi keyakinan kepada pelabur, mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan serta memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat.


"Johor mempunyai potensi yang sangat besar. Dengan kesinambungan dasar Kerajaan MADANI dan komitmen semua pihak, saya yakin negeri ini akan terus maju, makmur dan menjadi contoh pembangunan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat," katanya lagi.


Untuk rekod, Agenda Maju Johor adalah pelan induk jangka panjang Kerajaan Negeri diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Matlamat utamanya untuk memacu ekonomi Johor ke arah status negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.


Bagaimanapun, terdapat pihak yang mengkesampingkan peranan utama Kerajaan MADANI dalam membawa masuk pelaburan bagi menjayakan agenda tersebut kebelakangan ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page