Dasar baharu berkuat kuasa 1 Jun bukti kerajaan utamakan rakyat
- Azuan Ab Rahman

- 4 days ago
- 2 min read

Timbalan Setiausaha Wanita KEADILAN menyambut baik pelaksanaan beberapa dasar, polisi dan peraturan baharu yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.
Noraziah Mohd Razit (gambar) menerusi satu hantaran di laman Facebooknya berkata, pelaksanaannya merupakan langkah progresif Kerajaan MADANI dalam memperkukuh perlindungan rakyat, meningkatkan keselamatan sosial, serta memastikan pembangunan negara yang lebih mampan dan bertanggungjawab.
"Antara paling signifikan ialah pelaksanaan Skim Lindung 24 Jam PERKESO, yang memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja di luar waktu bekerja. Langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan pekerja dan keluarga mereka secara lebih menyeluruh.
"Selain itu, perubahan kepada sistem pengiraan pinjaman kenderaan, penambahbaikan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026, serta penguatkuasaan lebih ketat terhadap keselamatan platform media sosial dan kandungan dalam talian adalah usaha yang wajar dalam melindungi pengguna serta mengukuhkan hak rakyat dalam era digital," katanya.
Sebagai rekod, Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Jun disifatkan ramai sebagai antara reformasi terbesar dalam industri pembiayaan kenderaan di Malaysia sejak beberapa dekad lalu.
Pindaan termasuk pemansuhan kaedah “Rule of 78” bertujuan meningkatkan ketelusan, memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan sistem pembiayaan menjadi lebih adil dan mudah difahami.
Sementara itu, Noraziah yang juga Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor turut melihat langkah kerajaan memperketatkan akses media sosial bagi pengguna bawah 16 tahun sebagai usaha proaktif untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko buli siber, eksploitasi serta kandungan berbahaya yang semakin membimbangkan.
Pada masa yang sama, inisiatif seperti lanjutan pendaftaran SSM percuma dan penambahbaikan dasar berkaitan tenaga kerja asing tegasnya, membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menyokong usahawan kecil serta memperkukuh pasaran pekerjaan tempatan.
"Perubahan-perubahan ini membuktikan bahawa reformasi institusi dan kebajikan rakyat bukan sekadar slogan, tetapi diterjemahkan melalui dasar yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
"Semoga seluruh rakyat mengambil peluang untuk memahami setiap perubahan yang dilaksanakan agar manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya. Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan dasar-dasar ini mencapai matlamat yang dihasratkan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara," tambahnya.




Comments