DAP Johor sokong tangguh PRN, utamakan kesejahteraan rakyat
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

DAP Johor menyambut baik cadangan menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka yang dijangka berlangsung hujung tahun ini demi memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Naib Pengerusinya, Sheikh Umar Bagharib Ali (gambar), berkata cadangan yang dibawa oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan tersebut, dilihat sebagai langkah konstruktif bagi mengelakkan kitaran pilihanraya yang terlalu kerap.
"Cadangan ini dilihat sebagai satu langkah ke arah memastikan kestabilan politik yang lebih mampan, sekali gus mengelakkan kitaran pilihan raya yang terlalu kerap sehingga menjejaskan fokus pentadbiran kerajaan," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, keadaan semasa yang dipengaruhi ketidaktentuan pasaran tenaga global dan konflik geopolitik turut memberi kesan langsung kepada ekonomi serta kos sara hidup rakyat di Malaysia.
"Dalam konteks semasa, dunia berdepan tekanan ekonomi yang ketara akibat ketidaktentuan pasaran tenaga global, termasuk konflik geopolitik yang memberi kesan kepada harga minyak dan rantaian bekalan. Keadaan ini turut memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat di Malaysia," jelasnya.
Menurut Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu, penyelarasan PRN secara serentak akan menjimatkan perbelanjaan awam serta meningkatkan kecekapan pengurusan pilihanraya.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan penangguhan PRN perlu dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang serta prinsip demokrasi.
"Sebarang keputusan berkaitan penangguhan PRN perlu dibuat dengan mengambil kira peruntukan Perlembagaan, pandangan semua pihak berkepentingan serta prinsip demokrasi yang matang," katanya.
DAP Johor juga, kata beliau, menegaskan komitmen untuk terus menyokong usaha yang mampu membawa kestabilan politik, tadbir urus yang baik serta manfaat jangka panjang kepada rakyat.




Comments