DAP Johor hormati keputusan PRN, akan perbaiki kelemahan
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

DAP Johor menerima dengan terbuka keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 yang tidak memihak kepada parti itu, sambil menegaskan komitmen untuk melakukan penilaian menyeluruh terhadap punca kekalahan dan memperbaiki kelemahan.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching (gambar) berkata, parti itu menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat Johor dan mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan yang diraih.
"Dengan rasa rendah hati, DAP menerima keputusan ini dan menghormati pilihan Bangsa Johor. Kami mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi yang keluar mengundi serta semua penyokong yang memberikan sokongan kepada DAP sepanjang kempen pilihan raya.
Menurutnya, keputusan itu membawa mesej jelas bahawa parti perlu memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi pada masa akan datang.
"Sudah tentu ada kekurangan dan kelemahan yang patut kami perbaiki. Sudah tentu keputusan ini menghantar satu mesej untuk kami buat yang lebih baik," katanya.
Nie Ching berkata, BN berjaya mempertahankan kerusi-kerusi yang disandang sebelum ini, manakala undi yang diperoleh calon-calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor 2022 di Johor Jaya dan Perling telah beralih kepada calon BN pada PRN kali ini.
Menurut beliau, walaupun Pakatan Harapan (PH) mencatat peningkatan peratusan undi di kedua-dua kerusi berkenaan, ia masih belum mencukupi untuk membolehkan calon PH meraih kemenangan.
Beliau berkata, DAP akan meneliti faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kekalahan di kerusi-kerusi lain yang ditandingi sebelum mengambil langkah penambahbaikan.
"Kami akan meneliti faktor-faktor lain yang mengakibatkan kekalahan kami di DUN Jementah, DUN Tangkak dan kerusi DUN yang ditandingi, dan mengambil ikhtibar serta memperbaiki kelemahan kami."
Teo menegaskan bahawa meskipun berdepan kekalahan, DAP akan terus memainkan peranan dalam usaha membina negara dan memperjuangkan kepentingan rakyat.
"Kami juga akan memastikan segala usaha membina negara dan memperjuangkan hak rakyat diteruskan," katanya.




Comments