Dalam 'The Beast', PM bincang Isu Gaza bersama Presiden Trump
- Suara Keadilan

- Oct 30
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tidak banyak pemimpin dunia yang dipelawa oleh Presiden Amerika Syarikat menaiki kereta rasmi The Beast, dan tentunya tidak ada pemimpin yang pernah dipelawa itu bercakap isu Gaza, Palestin yang 'kurang disenangi' Trump dalam perjalanan selama 40 minit ke tempat persidangan utama.
Hal itu didedahkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, beliau menzahirkan ketegasan dan prinsipnya mempertahankan Palestin pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain itu, kata Anwar beliau turut membincangkan isu Laut China Selatan, kehadiran Brazil (Pengerusi BRICS) dan Afrika Selatan (Pengerusi G20) yang diundang ke persidangan serta hubungan antarabangsa Malaysia termasuk dengan China.
"Saya beritahu kepada Trump bahawa saya pernah bertemu dengan pemimpin-pemimpin Hamas. Tentunya beliau agak terkejut sedikit.
"Trump bertanya 'mengapa?' dan saya jelaskan, menggunakan istilah 'ceasefire' dan 'comprehensive settlement', kerana istilah 'comprehensive settlement' itu adalah istilah yang disepakati bersama," katanya.
Anwar berkata, beliau turut membangkitkan perkara sama (isu Gaza) dalam pertemuan Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang dimeterai pemimpin utama Thailand dan Kemboja.
"Saya selalu guna istilah 'Mr President, we commend you for this effort, it takes necessity and courage and comprehensive'. Kalau tidak, ia tidak akan selesai.
"Kemudian, dalam pertemuan AS-Malaysia itu juga tersebar saya menekankan mengenai 'comprehensive solution' bagi isu Gaza.
"Dalam konteks ASEAN-AS, kita juga menegaskan perkara yang sama, dan kita memanfaatkan peranan Malaysia untuk menyampaikan mesej ini.
"... tohmahan kepada kita (kerajaan) adalah sekadar (untuk) 'menunjuk'. Saya tidak pasti berapa ramai pemimpin negara lain yang memilih berdepan dengan Trump dan menyampaikan kenyataan dengan benar dan tegas, tapi kita telah melakukannya," ujar Presiden KEADILAN itu lagi.









Comments