top of page

Cukuplah propaganda lawatan Menteri S'pura ke T'ganu, rakyat mahu ekonomi lebih baik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 2 min read
MB DS Dr Samsuri menyambut ketibaan Lee Hsien Loong. Foto: FB Greater Terengganu Development
MB DS Dr Samsuri menyambut ketibaan Lee Hsien Loong. Foto: FB Greater Terengganu Development

Lawatan Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong ke Terengganu baru baru ini seharusnya dilihat dalam kerangka hubungan diplomatik dan potensi ekonomi negeri, bukannya dimanipulasi sebagai bahan propaganda politik.


Aktivis politik Terengganu, Awang Muda berkata, tindakan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) yang dilihat terlalu agresif memainkan naratif berhubung lawatan tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.


"Lawatan rasmi antara pemimpin luar dan Kerajaan Negeri adalah perkara biasa dalam hubungan serantau. Ianya tidak wajar dijadikan bahan propaganda berlebihan untuk membina imej individu tertentu," katanya dalam kenyataan kepada Suara Keadilan.


Menurut beliau, pendekatan memanipulasi lawatan tersebut melalui pelbagai posting dan kempen media sosial hanya bertujuan membina persepsi bahawa kononnya pentadbiran negeri mencapai kejayaan besar di peringkat antarabangsa.


"Hakikatnya, rakyat menilai kerajaan bukan berdasarkan jumlah posting Facebook atau gambar bersama pemimpin luar, tetapi berdasarkan pencapaian sebenar yang dirasai rakyat," ujar beliau.


Awang Muda menegaskan, sekiranya lawatan tersebut benar-benar memberi impak, rakyat mahu melihat hasil yang jelas seperti kemasukan pelaburan baharu, peluang pekerjaan berkualiti serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.


"Termasuklah isu kos sara hidup dan peluang pekerjaan anak muda juga perlu ditangani secara serius."


Beliau turut mempersoalkan keutamaan Kerajaan Negeri apabila masih terdapat pelbagai isu asas yang belum diselesaikan.


"Anak muda Terengganu masih berhijrah mencari kerja, peluang ekonomi masih terhad dan negeri masih terlalu bergantung kepada hasil petroleum," bidasnya.


Menurut beliau, tindakan menjadikan lawatan diplomatik sebagai kempen menaikkan imej pemimpin hanya menguatkan persepsi bahawa pentadbiran negeri lebih fokus kepada pencitraan berbanding menyelesaikan masalah rakyat.


Beliau menegaskan rakyat kini semakin matang dalam menilai sesuatu isu dan tidak tertarik dengan 'politik persepsi' semata mata.


"Mereka tahu membezakan antara diplomasi biasa dan propaganda politik.


"Ukuran sebenar kejayaan bukan pada berapa kali UPDI membuat posting, tetapi sejauh mana rakyat merasai perubahan dalam kehidupan mereka sendiri," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page