Pemimpin Pas jangan guna ungkapan tidak beradab terhadap sahabat Rasulullah
- Helmi Mohd Foad

- 3 hours ago
- 2 min read

Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) menyelar tindakan pemimpin Pas, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menggunakan ungkapan tidak beradab terhadap sahabat Rasulullah s.a.w, sambil mengingatkan agar tokoh besar Islam tidak wajar dijadikan bahan retorik politik yang boleh mengundang fitnah serta salah faham terhadap agama.
Ketuanya Datuk Aiman Athirah Sabu (gambar) berkata, pihaknya memandang serius penyebaran kenyataan dan bahan visual yang menggunakan bahasa kasar ketika merujuk kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab.
"Walaupun sejarah kehidupan para sahabat sebelum menerima hidayah Islam boleh dibincangkan dalam kerangka ilmiah dan pengajaran dakwah, penyampaiannya mestilah berpaksikan adab, akhlak, ketepatan fakta dan kebijaksanaan.
"Penggunaan bahasa yang kasar, sensasi dan bersifat menghina bukan sahaja mencemarkan kemuliaan tokoh-tokoh agung Islam, malah membuka ruang fitnah serta salah faham terhadap agama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut melahirkan rasa dukacita kerana kenyataan seumpama itu datang daripada seorang pemimpin politik dan agamawan yang pernah memegang kedudukan penting dalam parti yang membawa imej Islam.
"Seorang pemimpin yang bercakap atas nama agama sepatutnya menunjukkan contoh akhlak, kesantunan ilmu dan kebijaksanaan dalam berdakwah, bukannya memilih pendekatan yang mengundang kontroversi, fitnah serta mengelirukan masyarakat," katanya.
Aiman Athirah berkata, rakyat berhak menilai bahawa pendekatan sedemikian tidak mencerminkan kematangan kepimpinan Islam sebenar.
"Politik tidak seharusnya menjadikan agama sebagai alat retorik sehingga adab terhadap tokoh-tokoh besar Islam diketepikan.
"Apatah lagi dalam suasana media sosial hari ini, kenyataan yang dipotong, disensasikan dan disebarkan tanpa konteks boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang memusuhi Islam untuk menghina agama dan memperlekehkan para sahabat Rasulullah SAW," katanya.
Terdahulu tular rakaman klip video ucapan dipercayai disampaikan Ahli Parlimen Pasir Puteh itu mengenai dakwaan berkait sahabat Nabi Muhammad s.a.w sebelum memeluk Islam.
Ini termasuk tuduhan melakukan perbuatan zina dan menjadi seorang "chetti" ketika zaman sebelum Islam.
Ucapan itu mencetuskan kritikan pelbagai pihak kerana didakwa menggunakan pendekatan keterlaluan serta tidak berhikmah dalam penyampaian.
Dalam pada itu, Wanita AMANAH memberi peringatan bahawa banyak kisah berkaitan zaman jahiliah para sahabat sering dicampur aduk antara fakta, riwayat lemah dan cerita tidak sahih yang ditokok tambah.
"Ada juga kisah yang dipetik tanpa konteks lengkap sehingga memberi gambaran yang salah terhadap tokoh-tokoh besar Islam.
"Dalam disiplin ilmu Islam, para ulama sentiasa berhati-hati ketika membicarakan sejarah para sahabat kerana kedudukan mereka amat mulia di sisi umat Islam," katanya.
Menurut beliau, kesilapan manusia sebelum menerima Islam tidak boleh dijadikan bahan penghinaan setelah mereka dimuliakan dengan iman, taubat dan perjuangan menegakkan agama Allah.
"Justeru itu, menyampaikan kisah-kisah sensasi tanpa penjelasan ilmiah yang lengkap hanya akan membuka ruang kepada musuh Islam memutarbelitkan sejarah serta menjadikan nama para sahabat sebagai bahan ejekan dan propaganda kebencian terhadap Islam."
Aiman Athirah turut menegaskan bahawa dakwah mesti disampaikan dengan hikmah, adab dan akhlak mulia, manakala fakta sejarah pula perlu dijelaskan secara lengkap dan berimbang, bukan dipetik secara separuh-separuh demi tujuan sensasi.
Beliau berkata, pemimpin politik dan agamawan juga perlu lebih bertanggungjawab dalam ucapan mereka kerana kata-kata mereka membawa pengaruh besar kepada masyarakat.
"Kami menyeru semua pihak apatah lagi agamawan agar lebih bersikap taqwa dalam penyampaian masing-masing dan mengelakkan daripada mensensasikan apa sahaja kisah yang boleh mengundang penghinaan dan salah faham terhadap agama Islam," kata beliau lagi.




Comments