top of page

Dakwa ahli sejarah penakut, KJ persenda komuniti akademik?

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 59 minutes ago
  • 2 min read

Kenyataan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang melabel profesor sejarah sebagai “penakut” sebagai satu persendaan terhadap komuniti akademik negara.


Ahli Dewan Negeri Kajang, David Cheong berkata, bekas Menteri Kesihatan itu gagal memahami realiti sejarah dan tekanan politik yang telah lama membelenggu dunia akademik sehingga melahirkan budaya takut dalam kalangan ilmuan di negara ini.


David berkata, “kesunyian” sebahagian ahli akademik tempatan bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan sebaliknya lahir daripada budaya berkenaan yang terbina sejak sekian lama.


"Kesunyian para akademik Malaysia bukanlah satu sindrom masalah yang baharu, sebaliknya ia adalah kesan langsung daripada budaya ketakutan yang disemai oleh sistem politik yang KJ sendiri pernah wakili selama berdekad-dekad," katanya.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Khairy menerusi podcast Keluar Sekejap baru-baru ini yang menyelar sebahagian profesor dan ahli akademik sejarah kerana didakwa enggan tampil mempertahankan fakta sejarah negara dalam ruang awam.


Dalam podcast berkenaan, Khairy turut mendakwa ramai pensyarah universiti tidak berani menyertai perbahasan terbuka berkaitan sejarah walaupun dibayar menggunakan dana awam.


Mengulas lanjut, David berkata Khairy bercakap daripada kedudukan yang selesa sebagai tokoh politik elit yang tidak pernah mengalami tekanan seperti dihadapi generasi intelektual terdahulu.

 David Cheong
 David Cheong

"KJ bercakap dari kedudukan yang selesa seorang graduan Oxford yang membesar dalam lingkungan elit dan dilindungi oleh sistem.


"Beliau tidak pernah merasai dinginnya sel penjara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana berfikir secara kritis," katanya.


David turut mengingatkan bahawa sejarah negara pernah menyaksikan tokoh intelektual seperti Dr Syed Husin Ali, pejuang kemerdekaan Ahmad Boestaman dan bekas pengarang Said Zahari ditahan tanpa bicara serta dipinggirkan kerana mencabar naratif pemerintah ketika itu.


"Sejarah kita mencatatkan nama-nama besar seperti Syed Husin Ali, Ahmad Boestaman dan Said Zahari yang ditindas, ditahan tanpa bicara dan disisihkan hanya kerana keberanian mereka mencabar naratif rasmi pemerintah," ujarnya.


Beliau turut menyifatkan tindakan pihak yang pernah berada dalam sistem politik lama mempersoalkan keberanian ahli akademik sebagai sesuatu yang ironi.


"Adalah sangat ironi apabila mereka yang membina ‘tembok’ di menara gading melalui undang-undang yang mengekang kebebasan bersuara kini dengan angkuh bertanya mengapa para akademik tidak mahu terjun ke medan debat awam," katanya.


Menurut David lagi, politik kepartian selama beberapa dekad telah menyebabkan disiplin sejarah tidak berkembang secara bebas.


"Selama 60 tahun, politik kepartian telah menjadikan sejarah sebagai alat pengiktirafan kuasa, bukannya satu disiplin ilmu yang bebas."


Beliau berkata, jika Khairy benar-benar mahu melihat ahli akademik tampil lebih berani, reformasi institusi perlu dilakukan terlebih dahulu.


"Jika KJ benar-benar mahukan profesor kita berani, beliau sepatutnya mendesak agar saki-baki budaya autoritarian dalam sistem pendidikan kita dihapuskan sepenuhnya.


"Jangan menuntut keberanian daripada mereka yang pernah dipatahkan semangatnya oleh negara," katanya.


David yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional KEADILAN Selangor turut menggesa supaya kebebasan akademik diperkukuh melalui reformasi menyeluruh termasuk menghapuskan budaya ugutan terhadap kerjaya akademik.


"Kita perlukan reformasi tulen iaitu lindungi kebebasan akademik, mansuhkan budaya ugutan kerjaya dan biarkan fakta sejarah berdiri tanpa campur tangan politik," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page