top of page

Cikgu Idrus dikenang sebagai guru gerakan Reformasi

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Sep 26
2 min read

Updated: Sep 27

Allahyarham Cikgu Idrus bersama Steven Sim
Allahyarham Cikgu Idrus bersama Steven Sim

Allahyarham Idrus Ibrahim—abang kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dikenang sebagai sosok bapa dan guru bagi gerakan Reformasi.


Pemangku Ketua Cabang KEADILAN Permatang Pauh, Amir Ghazali berkata, seluruh warga KEADILAN Pulau Pinang berdukacita atas pemergian Idrus yang lebih mesra disapa sebagai Cikgu Idrus.


"Cikgu Idrus memainkan peranan aktif ketika Anwar dipenjarakan pada tahun 1999 dengan membawa aspirasi gerakan Reformasi kepada akar umbi parti.


"Sebab itulah kebanyakan daripada kami, khususnya di Pulau Pinang, berasa amat kehilangan. Beliau mempunyai pengalaman luas dan sangat rapat dengan ahli-ahli parti. Justeru, kami menganggap beliau sebagai sosok bapa dan guru bagi gerakan (Reformasi) itu," katanya dipetik laporan media.


Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohamad Abdul Hamid menyifatkan Allahyarham sebagai individu yang banyak menyumbang kepada pendidikan negara termasuk untuk negeri itu.


Malah Idrus menerima Anugerah Khas Pengarah (Bersara) daripada Jabatan Pendidikan Pulau Pinang pada 15 Julai lalu bagi mengenang dan menghargai jasa guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Stowell di Bukit Mertajam serta SK Permatang Bertam di Kepala Batas itu.


"Beliau sentiasa memberikan nasihat dan pandangan mengenai perkara yang perlu diperkenalkan (bagi menambah baik) sistem pendidikan," kata Exco pendidikan itu.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon turut berkongsikan kesedihan atas pemergian Idrus.


Beliau turut mengimbas pertemuan dua minggu lalu bagi membincangkan rancangan menerbitkan memoir mengisahkan kerjaya perguruan serta pengalaman Idrus yang dirancang diterbitkan pada November.


"Kita perlu menerbitkan buku beliau secepat mungkin dan membolehkan orang ramai mengetahui perjalanan hidup Cikgu Idrus sebagai seorang pendidik," tambahnya.


Kesedihan serupa turut dikongsikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim yang menyifatkan Idrus bukan sekadar guru dan guru besar, malah pendidik yang banyak memberikan nasihat serta bimbingan.


"Cikgu Idrus bukan sekadar guru dan seorang guru besar kepada saya. Beliau pendidik yang tegas, berdisiplin dan berprinsip tetapi sentiasa mengambil berat terhadap anak-anak muridnya.


"Saya hargai segala nasihat dan bimbingan terutama saya ketika saya baru memulakan langkah sebagai Ahli Parlimen sampailah menjadi seorang Ahli Kabinet. Jasa Cikgu sentiasa saya ingat," katanya menerusi hantaran di Facebook.


Idrus meninggal dunia pada usia 83 tahun pada jam 5.30 petang Khamis di kediaman keluarga mereka di Cherok Tok Kun. Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah pada Jumaat.


Perdana Menteri ditemui pemberita selesai pengebumian itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam urusan pengebumian allahyarham abangnya.


"Terima kasih kepada semua yang membantu, khususnya penduduk Kampung Cherok Tokun serta rakan-rakan yang hadir. Terima kasih banyak-banyak atas segala bantuan dan sokongan yang diberikan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page