Ceramah kelompok KEADILAN Kuala Nerus kupas isu semasa, dana rakyat


Penerangan Cabang KEADILAN Kuala Nerus menganjurkan Ceramah Kelompok Bersasar Penerangan Isu Semasa bagi kawasan DUN Bukit Tunggal dan DUN Buluh Gading, baru baru ini.
Program yang berlangsung dari jam 9 malam hingga tengah malam itu diadakan di Warung Mek Bunga, Kampung Pengkalan Arang, Kuala Nerus, dengan pengisian berkaitan reformasi, dasar parti, isu semasa serta pengurusan dana rakyat.
Menurut Penerangan Cabang KEADILAN Kuala Nerus, program berkenaan menjadi ruang penerangan dan perbincangan yang berpaksikan fakta serta semangat “Bersama Rakyat, Demi Terengganu, Untuk Malaysia”.
Ceramah dimulakan dengan pengisian Ketua AMK Kuala Nerus, Muhammad Ihsan Mat Nasir yang membawakan tajuk “Obor Reformasi: Amanah Generasi Muda Membina Masa Depan”.
Turut menyampaikan ceramah ialah Ketua Penerangan Cabang KEADILAN Kuala Nerus, Saado Md Nor menerusi topik Perbahasan Dasar Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat, manakala Dr Lutpi Mustafa membicarakan isu-isu semasa.
Pengerusi MPN Terengganu merangkap Ketua Cabang KEADILAN Kuala Nerus, Dr Zainuddin Awang @ Omar pula membentangkan topik “Isu RCI dan SEDAR: Selamatkan Dana Rakyat”.
Ceramah kemuncak disampaikan Timbalan Pengerusi Asatizah Wasatiyyah Terengganu, Tuan Guru Ustaz Zuliadin Abdullah menerusi tajuk “Fikrah Wasatiyyah”.
Menurut kenyataan itu, program tersebut turut membawa seruan supaya pengurusan dana rakyat dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.
"Program menjadi ruang penerangan dan perbincangan berpaksikan fakta serta semangat bersama rakyat, 'demi Terengganu, untuk Malaysia', termasuk seruan agar pengurusan dana rakyat dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab serta isu ditangani melalui saluran dan proses yang sah mengikut undang-undang," kata kenyataan itu.
Majlis juga menyaksikan penyampaian sijil kepada ketua-ketua ranting KEADILAN Kuala Nerus oleh Dr Zainuddin sebagai penghargaan terhadap kepimpinan akar umbi.
Program dikendalikan oleh Zainal Abidin Endut, Penyelaras Buluh Gading Dewan, bersama dua pengacara majlis yang dilantik.
Bacaan doa disempurnakan Dr Lutpi Mustafa, Setiausaha Pengelola merangkap Biro Agama Cabang KEADILAN Kuala Nerus, manakala urusan ketibaan tetamu, peserta dan jamuan dikendalikan Zakaria Awang, Ahli Jawatankuasa Pengelola Cabang KEADILAN Kuala Nerus.




Comments