Cawangan Khas, Di Sebalik Senyap, Ada Pengorbanan Tidak Diceritakan


Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: Ada pasukan keselamatan yang kita lihat di jalan raya, mengawal perhimpunan dan menjaga sempadan.
Namun ada satu lagi barisan hadapan keselamatan negara yang perjuangannya jarang kita lihat iaitu Cawangan Khas atau Special Branch (SB).
Mereka tidak semestinya muncul di televisyen atau mencari tepukan. Tugas mereka ialah mengumpul maklumat, membaca ancaman, menilai risiko dan membantu negara bertindak sebelum sesuatu ancaman berkembang menjadi tragedi. Itulah hakikat dunia perisikan.
Dari hutan rimba ke ancaman moden
Sejarah Cawangan Khas bermula daripada Civil Security Service pada 1918, diikuti Malayan Security Service pada 1939, sebelum dikenali sebagai Special Branch pada 1948, ketika negara berdepan ancaman bersenjata komunis.
Pada 1952, Cawangan Khas diiktiraf sebagai sebuah jabatan dalam Pasukan Polis Tanah Melayu. Perkembangan ini mencerminkan keperluan negara untuk memahami musuh, mengesan ancaman dan melindungi keselamatan dalam negeri. Ketika Darurat, Cawangan Khas menjadi antara komponen penting perisikan dalam menghadapi ancaman komunis. Anggotanya beroperasi di bandar, kampung dan kawasan hutan yang penuh risiko.
Tanpa teknologi komunikasi moden seperti hari ini, maklumat diperoleh melalui manusia, rangkaian dan operasi lapangan. Tersilap membaca satu maklumat boleh membawa padah kepada nyawa.
Perisikan tidak seperti polis biasa
Perisikan bukan pekerjaan biasa. Tugas boleh berlanjutan tanpa waktu tetap, arahan boleh berubah dalam sekelip mata, manakala maklumat dan identiti perlu dilindungi. Dalam sesetengah keadaan, keluarga sendiri mungkin tidak mengetahui sepenuhnya tugas yang dilakukan.
Kita mungkin melihat seorang anggota pulang ke rumah atau seorang pegawai duduk di pejabat, tetapi tidak mengetahui apa yang telah dilalui atau berapa banyak masa digunakan untuk menyusun maklumat yang membantu mencegah ancaman. Kerja mereka mungkin tidak menghasilkan gambar untuk akhbar. Tetapi hasilnya boleh berupa sebuah tragedi yang tidak pernah berlaku.
Di sinilah masyarakat perlu memahami satu perkara yang sangat penting. Cawangan Khas tidak boleh menjawab setiap tuduhan, tohmahan atau fitnah yang dilemparkan kepada mereka di media sosial seperti mana orang awam boleh berbuat demikian.
Mereka tidak boleh setiap kali muncul di Facebook, TikTok atau platform lain untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.
Bukan kerana mereka tidak mempunyai jawapan. Tetapi kerana sifat tugas mereka menuntut kerahsiaan, disiplin operasi dan perlindungan maklumat keselamatan negara.
Apabila seseorang individu boleh terus memberikan penjelasan secara terbuka, anggota perisikan pula terikat dengan batas tugas dan peraturan yang jauh lebih ketat. Maka berlaku adillah kepada mereka. Jangan menganggap mereka tidak mampu menjawab hanya kerana mereka memilih untuk tidak membuka rahsia tugas kepada umum.
Dalam dunia perisikan, ada perkara yang memang tidak boleh dijelaskan kepada masyarakat secara terbuka. Dan jika semua rahsia operasi dibuka untuk menjawab setiap dakwaan di media sosial, maka persoalannya ialah: Apakah masih wujud kerahsiaan dalam sebuah institusi perisikan?
Boleh kritik, jangan cerca
Saya tidak mengatakan Cawangan Khas tidak boleh dikritik. Dalam sebuah negara demokrasi dan berasaskan undang-undang, setiap institusi awam mesti menerima kritikan dan penelitian.
Jika berlaku pelanggaran undang-undang, ambil tindakan. Jika ada kelemahan, perbaiki. Kesalahan individu tidak wajar dilindungi hanya kerana pelakunya memakai uniform. Namun kita mesti membezakan antara mengkritik tindakan individu dengan menghukum keseluruhan institusi.
Jangan kerana satu tuduhan yang berlegar di media sosial, kita melupakan puluhan tahun pengorbanan mereka. Dan paling penting, jangan menghukum seseorang hanya berdasarkan dakwaan yang belum dibuktikan.
Inilah perkara yang sering dilupakan dalam era media sosial. Seseorang boleh membuat tuduhan dalam beberapa saat.
Satu hantaran boleh menjadi viral dalam beberapa minit. Tetapi pihak yang dituduh belum tentu mempunyai kebebasan untuk menjawab perkara tersebut secara terbuka.
Cawangan Khas berada dalam keadaan yang berbeza. Mereka terikat dengan kerahsiaan dan tanggungjawab keselamatan negara. Oleh sebab itu, apabila sesuatu tuduhan dilemparkan, kita tidak seharusnya terus menjatuhkan hukuman melalui media sosial. Biarlah siasatan dibuat melalui saluran yang sah. Biarlah fakta ditentukan berdasarkan bukti. Jangan jadikan media sosial sebagai mahkamah.
Keamanan bukan sesuatu yang percuma. Ada anggota keselamatan yang gugur atau cedera. Ada yang hidup bertahun-tahun dengan rahsia tugas. Dalam sejarah Darurat, rekod rasmi PDRM menyatakan seramai 1,346 anggota polis terkorban. Angka ini menggambarkan beratnya pengorbanan pasukan keselamatan.
Maka apabila kita bercakap tentang Cawangan Khas, kita sedang membicarakan sebahagian daripada sejarah panjang perjuangan keselamatan negara.
Maruah institusi keselamatan
Saya menulis ini bukan untuk membebaskan Cawangan Khas daripada kritikan. Saya menulis kerana institusi keselamatan negara perlu dihormati dan pada masa yang sama sentiasa menjaga integriti. Kewibawaan tanpa integriti akan runtuh.
Kita mahu Cawangan Khas yang tidak kebal daripada kritikan, tetapi cukup profesional untuk berdepan kritikan. Kita juga mahu rakyat memahami bahawa ada institusi yang tidak boleh menjawab setiap tuduhan secara terbuka, bukan kerana mereka tidak mempunyai penjelasan, tetapi kerana terdapat batas kerahsiaan dan tanggungjawab keselamatan negara yang mesti dipatuhi.
Jika ada anggota Cawangan Khas membaca tulisan ini, saya ingin mengatakan jangan kecewa apabila jasa tidak selalu disebut.
Sifat pekerjaan anda memang menuntut tugas tanpa publisiti. Namun jika kerja anda menghalang ancaman, menyelamatkan nyawa atau membantu memastikan negara terus aman, itu sudah menjadi khidmat kepada tanah air.
Cawangan Khas bukan sekadar sebuah jabatan. Ia sebahagian daripada benteng keselamatan negara. Ketika kita tidur lena, mungkin ada yang masih berjaga. Mereka bekerja dalam senyap.
Penulis merupakan Pengerusi Biro Politik SEKPUR serta Kepimpinan dan Pentadbiran Negara MPM (Majlis Perundingan Melayu)




Comments