top of page

Semua sekolah kawasan IPU lebih 180 ditutup esok - KPM

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
10 hours ago
2 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua institusi pendidikan awam yang berada di kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 ditutup mulai esok, 9 Oktober 2026 susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.


Keputusan itu dibuat sebagai menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu yang melanda negara.


Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata arahan penutupan berkenaan berdasarkan bacaan IPU yang direkodkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).


"Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 berdasarkan catatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hendaklah ditutup bermula Jumaat, 9 Oktober 2026," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut pula hendaklah ditutup mulai Isnin, 12 Oktober.


Sekolah dan institusi pendidikan KPM yang terjejas perlu melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) sepanjang tempoh penutupan.


Menurutnya pihak sekolah perlu memastikan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran murid menerusi kaedah bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses serta keperluan murid dan kesiapsiagaan guru.


Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) juga dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan.


Arahan KPM itu menyusul selepas kerajaan Johor sebelum ini mengarahkan penutupan sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negeri itu selama dua hari mulai hari ini susulan peningkatan bacaan IPU ke tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat.


Penutupan di Johor melibatkan ratusan institusi pendidikan, termasuk sekolah di bawah KPM dan institusi pendidikan negeri, susulan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara di beberapa kawasan.


KPM berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan di bawah kementerian itu perlu membuat pemantauan secara berterusan serta mengambil tindakan sewajarnya apabila bacaan IPU melepasi paras yang ditetapkan.


"KPM akan terus memantau perkembangan dari masa ke semasa dan sentiasa mendapatkan nasihat dari Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan terpelihara sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page