Canal City: AMK personal Khir Toyo jadikan andaian sebagai fakta


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mempersoalkan dakwaan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo bahawa pembatalan projek Canal City yang dicadangkan pentadbirannya kira kira dua dekad lalu menjadi faktor yang menyebabkan Shah Alam terus berdepan risiko banjir besar.
Ketua Biro Guaman dan Aduan Awam AMK Malaysia, Khairul Naim Rafidi berkata dakwaan projek berkenaan mampu mengelakkan banjir besar selama 100 tahun tidak boleh dianggap sebagai suatu kepastian tanpa penilaian teknikal berdasarkan keadaan semasa.
"Untuk rekod, pembatalan Canal City turut mengambil kira penilaian awal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor ketika itu.
"Dasar tebatan banjir hari ini perlu berpandukan data hujan terkini, kapasiti sungai, pembangunan serta pengaruh pasang surut air laut," katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas dakwaan Mohamad Khir pada 5 November bahawa projek tebatan banjir Canal City yang dirancang ketika beliau menjadi Menteri Besar mampu menampung ratusan ribu liter air dan mengelakkan ibu negeri Selangor, Shah Alam daripada dilanda banjir besar sehingga 100 tahun.

Projek berkenaan melibatkan pembinaan terusan sepanjang 18 kilometer yang menghubungkan Sungai Klang dengan Sungai Langat selain menggunakan dua tasik lombong sedia ada di Shah Alam dan Kuala Langat sebagai kawasan takungan air.
Khir mendakwa projek itu dibatalkan selepas pertukaran kerajaan negeri pada 2008 dengan tanah yang diperuntukkan bagi pembangunan berkenaan kemudiannya dijual kepada pemaju.
Bukan penyelesaian sesuai
Bagaimanapun, rekod pentadbiran Kerajaan Negeri ketika itu menunjukkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pernah menjelaskan pembinaan terusan bukan penyelesaian paling sesuai untuk mengatasi banjir di selatan Selangor.
Pada September 2008, Khalid berkata Kerajaan Negeri perlu meneliti keberkesanan projek berkenaan kerana aliran air melalui terusan berpotensi menyebabkan limpahan sungai dan mengakibatkan banjir di kawasan lain.
Beliau berpandangan pembinaan kolam takungan lebih sesuai sebagai pendekatan tebatan banjir selain menegaskan pembangunan hartanah dan kerja tebatan banjir perlu dilaksanakan secara seimbang.
Pada Februari 2011, Kerajaan Negeri mengumumkan pembatalan projek itu selepas mendapati ia tidak memberikan manfaat besar kepada rakyat Selangor.
Penjelasan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) pada 2014 pula menyatakan kajian awal JPS Selangor mendapati kapasiti kolam takungan banjir sedia ada mencukupi dan pembatalan projek berkenaan telah dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2010.
Projek mitigasi banjir
Mengulas usaha semasa Kerajaan Negeri menangani banjir, Khairul Naim berkata pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari telah menambah peruntukan hampir RM70 juta bagi melaksanakan 255 projek mitigasi banjir segera di seluruh Selangor.
"Sebagai Ahli Majlis MBSA yang turut berada di lapangan ketika kejadian banjir baru-baru ini, saya menyaksikan sendiri usaha pasukan teknikal memastikan sistem pam beroperasi.
"Saya turut memahami keresahan penduduk yang berulang kali terjejas," ujarnya.
Katanya, sebanyak 177 projek dilaporkan siap setakat 4 November manakala lebih 160 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai melebihi RM4 bilion turut dilaksanakan secara berperingkat.
Sementara menunggu projek utama disiapkan, Khairul Naim berkata usaha mitigasi jangka pendek perlu diteruskan secara agresif bagi mengurangkan risiko banjir dan melindungi penduduk terjejas.
"Isu banjir mesti ditangani berdasarkan keperluan semasa dan tindakan yang berkesan. Keselamatan penduduk harus terus menjadi keutamaan, mengatasi segala perdebatan politik," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin pada 5 November menjelaskan sebanyak 105 projek RTB jangka panjang sedang dilaksanakan di seluruh Selangor dengan kos RM4.28 bilion dan dijadualkan siap secara berperingkat.
Beliau berkata, kira-kira 70 peratus daripada 255 projek mitigasi banjir segera bernilai hampir RM70 juta juga telah disiapkan, manakala baki projek disasarkan selesai menjelang hujung tahun ini.
Kerajaan Selangor dan Kuala Lumpur turut melaksanakan pelan lima langkah, termasuk menilai kapasiti Empangan Batu dan Klang Gates serta mengenal pasti tapak kolam takungan baharu di kawasan hulu.
Amirudin turut menjelaskan kejadian banjir baru-baru ini berlaku susulan taburan hujan luar biasa yang melebihi purata normal, selain menegaskan kerajaan negeri tidak menjanjikan masalah banjir dapat dihapuskan dalam sekelip mata.
Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya projek RTB Sungai Buloh dan Sungai Damansara bernilai hampir RM700 juta dipercepatkan.




Comments