top of page

Campur aduk teori kuantum, ajaran tauhid bercanggah akidah Islam - Ust Fakhrulrazi

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar. gambar arkib
Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar. gambar arkib

Kecenderungan menggabungkan istilah dan konsep fizik kuantum dengan ajaran tauhid boleh menimbulkan kekeliruan terhadap asas akidah Islam.


Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar berkata, fizik kuantum tidak boleh dijadikan asas untuk menentukan hakikat zat, sifat dan perbuatan Allah SWT kerana bidang sains dan ilmu tauhid mempunyai asas serta kaedah yang jauh berbeza.


"Saya menegaskan bahawa ilmu fizik kuantum tidak boleh dijadikan asas untuk menentukan hakikat zat, sifat dan perbuatan Allah SWT.


"Fizik kuantum merupakan bidang sains yang mengkaji fenomena alam melalui kaedah saintifik, sedangkan ilmu tauhid mempunyai asasnya pada wahyu, al-Quran, al-Sunnah dan disiplin ilmu akidah yang muktabar," katanya dalam kenyataan.


Menurut Fakhrulrazi, penggunaan istilah seperti “tenaga Tuhan”, “frekuensi ketuhanan”, “gelombang kuantum Allah” atau dakwaan kuasa fikiran manusia mencipta realiti perlu diberi perhatian sekiranya istilah berkenaan digunakan untuk menggambarkan zat atau sifat Allah SWT.


Katanya, pendekatan sedemikian juga berpotensi mengaburkan perbezaan asas antara Allah sebagai al-Khaliq (Pencipta) dengan alam sebagai makhluk.


"Dalam akidah Islam, Allah SWT tidak menyerupai makhluk dan tidak boleh disamakan dengan sebarang bentuk tenaga, jirim, gelombang atau fenomena alam," tegasnya.


Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati terhadap dakwaan yang menggunakan istilah saintifik bagi memberikan gambaran seolah-olah sesuatu fahaman agama telah dibuktikan melalui fizik kuantum.


"Istilah saintifik yang digunakan tanpa asas yang tepat tidak menjadikan sesuatu dakwaan itu benar dari sudut sains mahupun akidah," ujarnya.


Sehubungan itu, Fakhrulrazi menyeru pihak berautoriti agama dan ilmuwan yang berkelayakan memberikan penjelasan kepada masyarakat sekiranya terdapat ajaran atau dakwaan yang mencampuradukkan teori kuantum dengan akidah sehingga bercanggah dengan prinsip tauhid.


Beliau pada masa sama menegaskan bahawa kemajuan sains perlu dihargai sebagai ilmu untuk memahami ciptaan Allah, namun teori sains tidak seharusnya digunakan secara sewenang-wenangnya untuk menentukan hakikat Allah SWT.


"Umat Islam hendaklah kembali kepada al-Quran, al-Sunnah dan disiplin ilmu akidah yang muktabar, di samping memahami ilmu sains berdasarkan kaedah dan bukti saintifik yang sebenar.


"Tauhid tidak memerlukan ‘pengesahan kuantum’. Tauhid berdiri atas wahyu dan dalil yang sahih," katanya.


Dalam kenyataan sama, Fakhrulrazi berkata beliau cenderung menganggap penggunaan konsep kuantum dalam ilmu tauhid sebagai sesat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page