Calon PH Buloh Kasap tawar selesai masalah peniaga, petani, anak muda
- Suara Keadilan

- 20 hours ago
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N01 Buloh Kasap, Noraziah Mohd Razit, menggariskan tiga tekad utama buat kesejahteraan penduduk sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Rozy Razit berkata, tiga tekad itu merangkumi usaha mendengar dan menyelesaikan isu rakyat, memperkasa ekonomi setempat serta membina masa depan yang lebih baik untuk anak muda, wanita dan institusi keluarga.
"Saya mahu membina masa depan Buloh Kasap yang lebih baik dengan memperkasa anak muda, wanita dan keluarga, di samping menjaga kebajikan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan yang memerlukan," katanya dipetik.
Rozy yang juga Exco Wanita KEADILAN Pusat menjelaskan, tiga tekad tersebut akan dijadikan panduan baginya memastikan kebajikan setiap lapisan masyarakat di Buloh Kasap terbela dan disantuni sewajarnya.
Menyentuh mengenai usaha-usaha yang akan dilaksana untuk menyelesai isu setempat sekiranya diberi kepercayaan oleh pengundi, Rozy memberi komitmen untuk sentiasa turun padang dan dekat dengan rakyat untuk mendengar sendiri setiap masalah dan aduan yang disampaikan.
Usaha itu jelasnya bagi memastikan isu-isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan dengan cepat dan adil.
"Ekonomi rakyat akan terus diperkasa. Lebih banyak peluang dan latihan akan diwujudkan kepada usahawan, peniaga, dan petani setempat.
"Dalam masa sama, kita akan memastikan setiap bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan," tambahnya.
Sebagai mengulas perjalanan kempen, Rozy memaklumkan sambutan yang diterima daripada pengundi sehingga kini positif.
Justeru beliau menyeru pengundi kawasan tersebut memberi peluang kepadanya dan Pakatan Harapan untuk menabur khidmat dan membawa perubahan yang dapat dirasai oleh semua.
"Buloh Kasap perlukan wakil rakyat yang hadir, bekerja dan menyelesaikan masalah. Insya-Allah itulah komitmen saya," katanya.




Comments