Calon BN didakwa salah guna premis, jentera kerajaan berkempen


Pakatan Harapan (PH) memfailkan laporan polis terhadap calon Barisan Nasional (BN) Khaidirah Abu Zahar atas dakwaan berkempen menggunakan premis dan jentera kerajaan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN Siti Aishah Shaik Ismail berkata, laporan polis terhadap penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim itu dibuat oleh wakil PH di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
Menurutnya,Khaidirah didakwa melakukan perbuatan pada majlis penyampaian sumbangan kepada kira-kira 30 penerima bersempena dengan sambutan Deepavali.
"Kita serahkan bukti (Khaidirah) menyalahgunakan Kompleks Japerun Rim untuk adakan majlis itu, yang sepatutnya tidak lagi boleh digunakan untuk program berunsur politik sebaik sahaja DUN dibubarkan, biarpun sebelum ini bangunan berkenaan pejabat beliau sewaktu menjadi wakil rakyat di sini.
"Kita juga dapati bakul makanan yang beliau berikan ada tertera tulisan MPJ (Majlis Perbandaran Jasin), maknanya itu aset (sumbangan) kerajaan," katanya dipetik pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH DUN Rim.
Siti Aishah yang juga Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN turut mendakwa mempunyai bukti bahawa terdapat beberapa pegawai MPJ yang memakai pakaian memaparkan wajah Naib Ketua UMNO Jasin sepanjang majlis penyampaian sumbangan berkenaan berlangsung.
"Kami tidak mempertikaikan hak rakyat untuk menerima bantuan, lebih-lebih lagi menjelang sambutan perayaan Deepavali.
"Namun, kami memandang serius pembabitan calon BN dalam program tersebut kerana ia menimbulkan persoalan besar mengenai kemungkinan penggunaan jentera, premis dan kemudahan kerajaan untuk memberikan kelebihan kepada calon tertentu ketika pilihan raya sedang berlangsung," tambahnya.




Comments