Oleh: Zulkifli Omar
Bual bicara di Astro Awani baru-baru ini mengejutkan rakyat Malaysia dengan komen ahli panel yang mencadangkan penyelesaian ekstrem kepada kemelut politik Malaysia, iaitu melantik kerajaan interim (sementara) atau melaksanakan MAGERAN.
Profesor undang-undang Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood mendacangkan Perdana Menteri (PM) interim dilantik. Manakala Presiden JUST, Dr Chandra Muzaffar mencadangkan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar MAGERAN (darurat) dan Tuanku memilih tokoh yang sesuai sebagai ketua kerajaan.
Pilihan terakhir
Walaupun para panel itu menyatakan pandangan ini adalah pilihan terakhir tetapi ianya mengundang persepsi yang cukup negatif kepada negara Malaysia yang mengamalkan demokrasi berpelembagaan.
Apa yang berlaku ketika ini, PM masih belum meletakkan jawatan. Tuanku selaku Yang di-Pertuan Agong yang mengikut lunas Perlembagaan seharusnya melihat idea melantik kerajaan interim tidak perlu dilayan. Hal itu hanya satu rekayasa yang dibuat oleh para politikus rakus kuasa dan melihat kuasa itu seolah-olah milik mutlak mereka.
Sedangkan kuasa memerintah adalah amanah yang diberikan oleh rakyat. Tuanku selaku Yang di-Pertuan Agong kemudiannya memberi watikah jawatan kepada ahli-ahli politik tersebut.
Ketua Pembangkang ada majoriti
Namun yang terjadi, kuasa itu dianggap milik peribadi dan dipertahankan habis-habisan. Mengikut Perlembagaan apa yang sewajarnya dilakukan ialah istana memanggil PM semasa dan jika didapati beliau telah hilang majoriti maka Ketua Pembangkang layak mengusulkan majoriti yang ada di pihaknya kepada Agong.
Kalau sah terdapat majoriti maka perlantikan PM baru boleh dilakukan. Tidak timbul isu membawa negara ke kancah polemik politik yang berpanjangan dan memberi kesan negatif kepada rakyat negara ini.
Penulis berkata demikian kerana kerajaan interim yang dicadangkan itu tidak menepati Perlembagaan ketika PM semasa hilang majoriti dan Ketua Pembangkang mempunyai majoriti.
Penulis bimbang jika hal itu dilakukan, akan membuat rakyat rasa tidak senang dengan pihak istana. Maka tokoh ilmuan yang mengulas isu ini perlu melihat dari seluruh aspek, sama ada kesan ekonomi atau kesan pembinaan sosial kepada generasi akan datang.
Kita tidak mahu persepsi negatif terhadap istana dalam kalangan generasi masa hadapan. Kita kasih kepada Tuanku, namun kalau inilah pemikiran yang ada pada ahli akademik muktahir ini maka kita khuatir generasi masa hadapan akan dihimpit pandangan yang negatif dan serong.
Penilis melihat Tuanku perlu bertindak dalam kapasiti sah di sisi Perlembagaan dengan menidakkan pandangan ahli akademik yang bersifat negatif.
Ubah kerajaan secara aman
Dalam hal ini rakyat perlu bertenang, sebagaimana kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak pernah tergopoh-gapah dalam mengharungi badai perjuangan Reformasi. Anwar tidak pernah mengajak rakyat turun ke jalan raya atau melakukan sesuatu yang tidak mengikut Perlembagaan negara.
Beliau melalui proses ini bukan satu hari malah lebih 20 tahun. Inilah seorang pemimpin yang mempunyai latar belakang dan kesabaran yang tinggi. Walaupun diperkatakan kononnya tidak sabar mahu menjadi PM tetapi selaku rakyat kita boleh melihat haknya walaupun disanggah untuk menjadi ketua kerajaan tetapi rakyat tetap mendokong kepimpinan beliau.
Kita lihat pertukaran pemimpin di mana-mana negara di dunia boleh berlaku secara aman. Di United Kingdom, Jepun malah di Indonesia negara reformasi pun masih mampu mengekal keamanan.
Kenapa mesti ahli akademik kita membawa pandangan yang cukup negatif dan kesannya akan menjejaskan ekonomi serta politik Malaysia pada masa hadapan? Bukan ini Malaysia yang mahu kita tinggalkan untuk generasi muda.
Sekali lagi penulis tekankan langkah untuk melantik PM interim dan kerajaan interim atau melaksanakan MAGERAN merupakan langkah maha dahsyat kepada negara serta kepada anak cucu kita.
Ampun Tuanku. Junjung kasih Tuanku. Bertindaklah mengikut landasan Perlembagaan Persekutuan.
__________________________________________________________________________________
Penulis merupakan aktivis masyarakat. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan bukan pendirian rasmi Suara Keadilan.
Comments