Cadangan ADUN lantikan, demokrasi di Johor tercabar?
- Redzuan Shamsudin

- 5 days ago
- 2 min read

Cadangan Kerajaan Negeri Johor untuk membentangkan pindaan Perlembagaan negeri bagi memperluaskan komposisi Dewan Negeri kepada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipilih dan lima ADUN lantikan menerima kritikan keras apabila disifatkan sebagai mencabar prinsip asas demokrasi.
Naib Pengerusi KEADILAN Johor, Jimmy Puah Wee Tse (gambar) menegaskan bahawa langkah menambah lima ADUN lantikan itu bukan sekadar pelarasan pentadbiran biasa, sebaliknya merupakan “satu cabaran langsung terhadap prinsip demokrasi.”
Beliau berkata, lima ADUN lantikan itu tidak mempunyai kawasan, tidak dipilih oleh rakyat dan tidak melalui proses pilihanraya, namun diberikan hak sama seperti ADUN yang dipilih.
"Ini bukan lagi isu kawasan kelabu, tetapi satu cabaran terbuka terhadap legitimasi demokrasi," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, mekanisme tersebut berpotensi mewujudkan “ADUN pintu belakang”, apabila individu yang ditolak rakyat dalam pilihanraya boleh kembali ke Dewan melalui pelantikan politik.
"Rakyat menolak melalui undi, tetapi sistem membenarkan mereka kembali melalui pintu belakang. Apakah makna pilihanraya jika ini berlaku?" soalnya.
Tambah beliau, cadangan itu turut menjejaskan prinsip “satu orang, satu undi” apabila ADUN lantikan yang tidak memperoleh sebarang undi diberikan kuasa setara dengan wakil rakyat yang menerima puluhan ribu undi.
Dalam masa sama, beliau menimbulkan kebimbangan terhadap isu akauntabiliti kerana ADUN lantikan tidak bertanggungjawab kepada pengundi, sebaliknya hanya kepada pihak yang melantik mereka.
"Maka, apakah nilai sebenar undi rakyat? Isu akauntabiliti juga tidak boleh dipandang ringan," katanya.
Jimmy Puah turut mendakwa pelantikan tersebut berpotensi menjadi alat patronaj politik untuk memberi ganjaran kepada sekutu atau penyokong tertentu.
"Ini bukan reformasi, ini adalah pembahagian kepentingan politik," kata Ahli Parlimen Tebrau itu.
Beliau juga memberi amaran bahawa mekanisme itu boleh mewujudkan duluan merbahaya, sekali gus menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.
Mengulas aspek kewangan, beliau mempersoalkan keperluan menambah lima ADUN lantikan dalam keadaan rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.
"Dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan rakyat sedang bergelut dengan tekanan ekonomi, mengapa perlu menggunakan wang pembayar cukai untuk menampung 5 ADUN yang tidak mempunyai mandat rakyat?" katanya.
Sehubungan itu, Jimmy Puah menggesa Kerajaan Negeri Johor menilai semula cadangan berkenaan agar tidak menjejaskan prinsip demokrasi.
"Demokrasi bukan alat untuk “mereka bentuk keputusan”. Demokrasi adalah tentang memberi kuasa kepada rakyat untuk menentukan siapa yang memerintah — bukan memberi ruang kepada kuasa untuk memintas kehendak rakyat," katanya lagi.




Comments