Cadang alat bantuan renjatan jantung di lokasi strategik DUN Ayer Limau


Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi DUN Ayer Limau, Mejar (B) Zaini (gambar), mencadangkan supaya mesin Automated External Defibrillator (AED) ditempatkan di lokasi strategik termasuk masjid dan rumah ibadat bagi membantu menyelamatkan nyawa penduduk yang mengalami serangan jantung.
Beliau berkata, cadangan itu mengambil kira keperluan menyediakan kemudahan kecemasan yang mudah dicapai masyarakat, khususnya golongan berusia yang berisiko mengalami serangan jantung.
"Sepanjang saya berada di Ayer Limau ini, saya ada bertanya beberapa masjid. Saya tanya setiap masjid, ada tak mesin AED? Tahu tak mesin AED?
"Mungkin ada yang tahu, mesin AED adalah mesin untuk renjatan jantung," katanya.
Menurut Zaini, mesin berkenaan sepatutnya menjadi kemudahan awam yang boleh diakses dengan mudah, sebagaimana amalan di negara-negara maju.
"Di negara-negara maju, mesin AED adalah satu keperluan umum di semua tempat awam. Mesin ini sangat penting untuk menyelamatkan mangsa atau memulihkan jantung apabila berlakunya serangan jantung kepada seseorang," katanya.
Zaini berkata, pemerhatiannya ketika menunaikan solat di masjid mendapati kebanyakan jemaah yang hadir terdiri daripada golongan berusia, sekaligus mendorong beliau memberi perhatian kepada keperluan kemudahan tersebut.
Beliau berkata, sekiranya diberi peluang menjadi Adun, beliau berhasrat menyediakan mesin AED di setiap masjid dan rumah ibadat di kawasan berkenaan, dengan mengambil kira terdapat kira-kira 10 masjid di DUN Ayer Limau.
"InsyaAllah, kita ada 10 masjid sahaja. Kita sediakan untuk setiap masjid dan juga rumah ibadat, dan kita akan memberikan latihan kepada penduduk untuk menggunakannya," katanya.
Katanya, penempatan mesin itu juga perlu mengambil kira aspek aksesibiliti supaya penduduk boleh mendapatkannya dengan segera ketika berlaku kecemasan.
"Tak perlu kita letak di tempat yang susah, berkunci. Kita kena letak di tempat awam supaya penduduk di sekitar masjid boleh mendapatkan mesin itu dengan mudah untuk digunakan.
"Ini dapat membantu menyelamatkan nyawa penduduk-penduduk di Ayer Limau," katanya.
"Saya memerhatikan apabila saya sembahyang di masjid, majoriti yang hadir di masjid itu adalah golongan yang agak berusia.
"Risiko mereka untuk terkena serangan jantung sangat-sangat tinggi. Insya-Allah, sekiranya masjid ini disediakan mesin AED, mungkin ia boleh menyelamatkan nyawa penduduk sekiranya berlaku kecemasan," katanya lagi.




Comments