top of page

Bukan Islam zalim: Agama menyatukan, bukan alat memecah-belahkan masyarakat

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
5 minutes ago
2 min read
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Sungguh amat dikesali ada yang membuat kesimpulan bahawa orang Islam yang zalim tetap lebih baik daripada orang bukan Islam, hanya kerana perbezaan agama?

Agama sepatutnya menjadi asas penyatuan masyarakat dan bukannya digunakan sebagai alat untuk mencetuskan perpecahan, prasangka serta kebencian antara kaum dan agama.


Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kenyataan bahawa sejahat-jahat orang Islam yang memerintah negara namun tidak sezalim orang bukan Islam, seperti dilaporkan dalam ceramah politik di Melaka, amat dikesali.


Beliau berkata, penilaian terhadap keadilan dan kezaliman seseorang pemimpin tidak sepatutnya dibuat berdasarkan agama yang dianuti, sebaliknya berpandukan akhlak, integriti, tindakan serta tanggungjawab mereka sambil memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat lapan:


“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.”


"Sangat jelas Islam mengajar umatnya supaya berlaku adil walaupun terhadap pihak yang tidak disukai," kata Saifuddin dalam kenyataan hari ini.


Menurut Menteri Dalam Negeri itu, seseorang pemimpin tidak boleh dianggap lebih baik hanya berdasarkan identiti agamanya, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan amanah, keadilan dan keupayaan melindungi rakyat.


"Sungguh amat dikesali ada yang membuat kesimpulan bahawa orang Islam yang zalim tetap lebih baik daripada orang bukan Islam, hanya kerana perbezaan agama?


"Seseorang pemimpin tidak hanya dinilai berdasarkan identiti agamanya semata-mata, tetapi berdasarkan amanah, keadilan dan keupayaannya melindungi rakyat," katanya.


Beliau turut mengingatkan bahawa Rasulullah SAW mengajar setiap manusia adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap mereka yang berada di bawah tanggungjawabnya.


"Rasuah tetap rasuah. Penindasan tetap penindasan. Pengkhianatan terhadap amanah tetap satu kesalahan, siapa pun pelakunya.


"Jangan kita menggunakan agama untuk memberikan perlindungan moral kepada pemimpin yang rasuah," katanya.


Beliau berkata, Islam tidak menjadi mulia dengan merendahkan agama lain, sebaliknya kemuliaannya terserlah melalui keadilan, akhlak, ilmu, amanah dan contoh kepimpinan yang baik.


Katanya, kekuatan orang Melayu dan umat Islam juga tidak akan terhakis hanya kerana menghormati hak kaum serta agama lain.


"Sebaliknya, umat Islam akan lebih dihormati apabila mereka menjadi contoh terbaik dalam keadilan, kemajuan, kebijaksanaan dan sifat rahmah kepada seluruh manusia," ujarnya.


Sehubungan itu, Saifuddin menegaskan pilihanraya sepatutnya menjadi ruang untuk rakyat menilai rekod prestasi, integriti dan kemampuan calon serta parti politik yang bertanding.


Beliau berkata, proses demokrasi tidak seharusnya dijadikan medan untuk membangkitkan ketakutan dan prasangka berasaskan kaum serta agama dalam kalangan masyarakat.


Malam tadi, berucap di pentas Grand Finale BN dan PN, Presiden Pas Hj Hadi Awang meminta orang Islam mengundi calon seagama, yang mana perkiraan politik dibuat berlandaskan faktor dosa dan pahala berbanding orang bukan Islam yang didakwanya “zalim”.


Katanya, kesan daripada orang Islam tidak keluar mengundi ialah “orang lain” yang akan jadi pemerintah dan didakwanya bakal bertindak mengikut perkiraan mereka semata-mata serta mengabaikan amanah yang diwajibkan Allah.


"Sebab itu orang Islam mesti tunaikan kewajipan ini (keluar mengundi) untuk memimpin seluruh manusia.


"Sejahat-jahat orang Islam, seburuk-buruk orang Islam memerintah negara, mereka tidak sezalim orang bukan Islam," katanya dipetik Malaysiakini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page