Pengundi Melayu Melaka bukan hanya ada satu pilihan, satu parti - Adam Adli



Pengundi di Melaka mempunyai kebebasan untuk menentukan pilihan politik masing-masing dan tidak seharusnya dianggap hanya mempunyai satu pilihan khusus berasaskan sentimen parti Melayu-Islam.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Melaka, Adam Adli Abdul Halim berkata, rekod beberapa siri pilihanraya sebelum ini membuktikan masyarakat di negeri bersejarah itu pernah membuat pilihan politik yang berbeza dan tidak semestinya berpihak kepada satu kelompok atau parti tertentu.
Katanya, perkara itu seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak agar tidak membina persepsi kononnya orang Melayu beragama Islam hanya mempunyai satu pilihan politik.
"Saya harap kita mengekalkan semangat perpaduan dan juga kebersamaan yang kita ada di Melaka. Masyarakat Melaka bukan masyarakat yang tidak pernah membuat keputusan berbeza.
"Kalau kita nak pacakkan bahawa seolah-olah Melayu-Islam hanya ada satu pilihan, itu tidak betul.
"Masyarakat Melaka sudah pun membuat keputusan berbeza dalam beberapa pilihanraya. Jadi itu seharusnya menjadi peringatan kepada kita" katanya mengimbau Pilihan Raya Umum 2018 lalu yang mana Pakatan Harapan diberi mandat sebagai kerajaan negeri sebelum ditumbangkan oleh pengkhianatan BN-PN pada 2020.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pakatan Harapan (PH) di Bilik Gerakan Utama PH, di Ayer Keroh, hari ini.
Mengulas lanjut, Adam berkata, pihaknya yakin masyarakat mampu membuat penilaian sendiri terhadap pelbagai isu yang dibincangkan dan diwacanakan di platform media sosial.
Ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, masyarakat terutamanya di Melaka tidak mudah terpengaruh dengan propaganda, sentimen atau naratif yang dimainkan oleh pihak tertentu.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bakal menyaksikan seramai 79 calon bertanding merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan proses pengundian berlangsung esok melibatkan 240 pusat mengundi.




Comments