Bukan sekadar berkempen, tetapi dengar masalah penduduk - Ysahrudin
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi N14 DUN Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni menegaskan komitmennya untuk terus mendekati masyarakat dan mendengar sendiri suara rakyat sebagai asas kepada usaha memperjuangkan kebajikan penduduk di kawasan itu.
Katanya dalam jelajah kempen berkunjung ke rumah penduduk, beliau bukan sekadar memenuhi jadual, sebaliknya kunjungan menjadi ruang untuk memahami harapan, keresahan dan keperluan masyarakat secara lebih dekat.
"Menjengah bukan sekadar hadir, tetapi membawa telinga untuk mendengar dan hati untuk memahami," katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurut beliau, setiap rumah yang diziarahi di Bukit Naning mempunyai kisah dan cabaran tersendiri, yang memerlukan perhatian serta tindakan daripada wakil rakyat.
"Setiap rumah yang diziarahi di Bukit Naning menyimpan seribu satu cerita. Ada yang berkongsi harapan, ada yang meluahkan keresahan, dan ada yang sekadar menghulurkan senyuman penuh makna," katanya.
Ysahrudin berkata, beliau akan terus menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
Katanya, setiap individu berhak didengari dan setiap amanah yang diberikan perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
"InsyaAllah, selagi diberi kekuatan, saya akan terus menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang. Kerana setiap insan berhak didengari, setiap suara membawa nilai, dan setiap amanah wajib dipikul sebaiknya," katanya.




Comments