Kes rogol Jalan Cochrane: Batalion Anak Muda desak RPUS dilaksana segera


iBatalion Anak Muda menggesa kerajaan melaksanakan Rekod Pematuhan Undang-Undang Sivil (RPUS) bagi warga asing dengan segera susulan laporan kes rogol membabitkan seorang wanita di Jalan Cochrane pada 10 Oktober lalu.
Dalam kenyataan media, Batalion Anak Muda menegaskan keadilan mesti ditegakkan tanpa kompromi, manakala keselamatan orang awam perlu terus menjadi keutamaan.
"Kami menyampaikan simpati yang mendalam kepada mangsa dan keluarganya, dan menuntut keadilan ditegakkan tanpa kompromi," kata kenyataan itu.
Batalion Anak Muda berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan laporan media yang mendakwa suspek dalam kes berkenaan ialah warga asing dan tidak menuduh mana-mana individu, sebaliknya menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagaimanapun, kumpulan itu menegaskan sekiranya seseorang didapati bersalah, hukuman setimpal perlu dikenakan tanpa mengira kewarganegaraannya.
"Jenayah seksual tidak mengenal bangsa, dan keadilan juga tidak boleh pilih kasih," katanya.
Sehubungan itu, Batalion Anak Muda menegaskan pihaknya tidak menyalahkan keseluruhan komuniti warga asing, namun berpendapat laporan jenayah serius seperti itu wajar dijawab kerajaan menerusi tindakan konkrit.
Oleh itu, mereka menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan pantas dan telus serta memaklumkan perkembangan kes kepada orang awam dari semasa ke semasa.
Mereka turut menuntut perlindungan sewajarnya diberikan kepada mangsa, termasuk menjaga kerahsiaan identiti, menyediakan khidmat kaunseling dan bantuan guaman serta memastikan proses pendakwaan berjalan tanpa kelewatan sekiranya terdapat bukti mencukupi.
Selain itu, Batalion Anak Muda juga mencadangkan penguatkuasaan imigresen dipertingkatkan secara telus, termasuk semakan latar belakang yang bersesuaian sebelum permit dikeluarkan atau diperbaharui.
"Majikan dan ejen perlu bertanggungjawab jika melanggar undang-undang pekerjaan dan imigresen," katanya.
Laksanakan RPUS
Mengulas cadangan RPUS pula, Batalion Anak Muda berkata inisiatif itu pernah dikemukakan pada April 2026 sebagai langkah jangka panjang untuk mendidik warga asing mengenai undang-undang Malaysia serta merekodkan pematuhan mereka.
Cadangan itu merangkumi orientasi undang-undang wajib sebelum permit dikeluarkan, dengan modul berkaitan undang-undang jenayah, keganasan seksual, imigresen dan pekerjaan disediakan dalam bahasa Malaysia serta bahasa utama pekerja asing.
Menurut kenyataan itu, setiap peserta perlu menandatangani akuan pemahaman, manakala penyertaan orientasi dan rekod kesalahan undang-undang berkaitan dicatatkan dalam sistem imigresen untuk dipertimbangkan ketika pembaharuan permit.
Majikan dan ejen pula dicadangkan bertanggungjawab memastikan pekerja melengkapkan orientasi berkenaan, dengan tindakan sewajarnya dikenakan jika gagal berbuat demikian.
Batalion Anak Muda menegaskan pelaksanaan RPUS perlu dibuat secara adil dan telus kepada semua warga asing, dengan perlindungan data peribadi, hak rayuan serta penerbitan statistik berkala kepada orang awam.
"RPUS ialah langkah pencegahan jangka panjang. Ia bukan jawapan kepada kes ini dan tidak menyentuh merit siasatan," menurut kenyataan itu lagi.
Batalion Anak Muda turut mengingatkan semua pihak supaya berkomunikasi secara bertanggungjawab dalam membincangkan kes berkenaan, tanpa mencetuskan sentimen perkauman atau xenofobia, sambil memastikan hak mangsa dan proses keadilan terus dihormati.




Comments