Umno, MB Ismail Lasim perlu jawab isu kemurkaan Tuanku Muhriz


Umno digesa menjelaskan pendiriannya berhubung kontroversi membabitkan Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, susulan rakaman titah kemurkaan baginda yang tular sejak semalam.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, isu tersebut bukan perkara kecil yang boleh didiamkan, sebaliknya menimbulkan persoalan serius mengenai hubungan antara institusi diraja dengan pentadbiran negeri.
Menurutnya, kandungan penuh surat yang didakwa dihantar Menteri Besar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja perlu didedahkan supaya rakyat mengetahui perkara sebenar.
"Apakah Umno merestui tindakan Menteri Besarnya?" tanya beliau dalam kenyataan hari ini.

Mujahid berkata, isu berkenaan semakin serius apabila Jabatan Peguam Negara (AGC) dilaporkan menegaskan bahawa Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa untuk menurunkan atau mengisytiharkan kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Beliau turut berkata Setiausaha Kerajaan Negeri enggan mewartakan proklamasi berkenaan kerana menganggapnya tidak sah dan tidak berperlembagaan.
"Persoalannya, mengapa selepas penjelasan undang-undang yang begitu jelas, masih wujud tindakan atau surat yang boleh ditafsirkan sebagai menafikan kedudukan Tuanku Muhriz?" katanya.
Mujahid turut mempersoalkan pendirian Umno Malaysia yang selama ini lantang mendakwa sebagai pembela Melayu, Islam dan institusi Raja-Raja Melayu, tetapi didakwa membisu apabila kontroversi itu membabitkan pemimpin parti sendiri.
"Isu kemurkaan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz bukan lagi direka oleh sesiapa tetapi kenyataan yang disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia.
"Akan tetapi malangnya, apabila Menteri Besar daripada Umno sendiri dikaitkan dengan tindakan yang menyentuh kedudukan seorang Raja Melayu, mengapa pimpinan Umno membisu?" katanya.
Beliau turut mempersoalkan pendirian Ketua Pemuda Umno yang menurutnya sering lantang bersuara dalam isu berkaitan institusi diraja.
Umno perlu jawab tiga persoalan
Sehubungan itu, Mujahid mengemukakan tiga persoalan yang perlu dijawab Umno, iaitu sama ada pimpinan parti mengetahui atau merestui surat berkenaan, sama ada parti menyokong pendirian Exco yang pernah mengiktiraf proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz, serta sebab MB Ismail didakwa mengubah pendirian berhubung kedudukan baginda.
Mujahid turut meminta Ismail menarik balik surat itu sekiranya kandungannya benar seperti yang didakwa Tuanku Muhriz.
"Beliau juga wajib memohon ampun kepada baginda serta memohon maaf kepada rakyat Negeri Sembilan dan seluruh rakyat Malaysia kerana sikap biadabnya terhadap institusi Raja Melayu," katanya.
Menurut Mujahid, sekiranya MB Ismail gagal memberikan penjelasan meyakinkan dan memulihkan hubungan dengan Istana, beliau wajar meletakkan jawatan kerana tidak lagi mempunyai kewibawaan moral untuk meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.
"Jawatan Menteri Besar bukan hak milik Umno. Ia ialah amanah perlembagaan yang dilaksanakan dengan perkenan Yang di-Pertuan Besar dan mesti dipertanggungjawabkan kepada rakyat serta Dewan Undangan Negeri," katanya.
Mujahid menegaskan kritikan itu bukan bertujuan mempolitikkan institusi beraja, sebaliknya mempertahankan keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan martabat institusi Raja.
"Umno kini mesti memilih, mempertahankan institusi Raja atau mempertahankan pemimpinnya sendiri," katanya lagi.




Comments